MASALAH beg berat bagi murid sekolah rendah sejak kebelakangan ini sering diperkatakan. Malah, ada berkata beg yang dipikul murid sekolah rendah sekarang lebih besar daripada badan mereka sendiri.
Jadi timbul persoalan mengapa tidak diwujudkan satu lokar khas untuk digunakan murid sekolah bagi mereka menyimpan segala buku-buku subjek yang dipelajari.
Tetapi tampil seorang guru yang menggunakan akaun Facebook Mohd Fadli Salleh memberitahu sebab mengapa idea lokar itu sukar dilaksanakan secara menyeluruh.
"Sewa lokar RM100 ke RM150 setahun, ramai tak mampu. Sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) RM30 sebulan pun ramai tak bayar.
"Lokar nak letak dalam kelas yang ramai murid, tak muat. Tambah-tambah sekolah dua sesi. Padat sangat. Melainkan kelas murid kurang," katanya.
KERATAN status Facebok yang dimuat naik Mohd Fadli. — Facebook
Menurutnya lagi, ada sekolah yang pernah membuat lokar tetapi itu pun diletakkan di luar kelas sebab tidak muat.
Jelasnya, mula-mula tak berkunci, buku-buku hilang serta tertukar dan murid tahun satu hingga tiga main ambil sahaja buku tanpa peduli lokar siapa hingga menyukarkan sesi kelas.
"Buat pula kunci, kunci pula budak hilangkan. Terus tak boleh belajar, sedangkan buku ada dalam lokar.
"Belum cerita hujan dan tempias, loker masuk air dan buku rosak. Siap ada kucing beranak dalam loker lagi dan akhirnya lokar pun tidak digunakan," katanya.
Menurut Mohd Fadli, itu antara punca mengapa idea lokar tidak dapat membantu pun untuk menyelesaikan masalah beg berat.
Tambahnya, beg berat berpunca daripada subjek yang banyak dan mengapa tidak dikurangkan subjek yang sekaligus akan meringan beban murid.
Menerusi ruangan komen, ramai yang bersetuju bahawa penggunakan lokar bukanlah sesuatu yang boleh menyelesaikan masalah.
Kos dan beberapa faktor lain antaranya kecuaian murid yang membuatkan penggunaan lokar amat sukar dilaksanakan di peringkat sekolah rendah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram