Harapan Selangor berkecai, pengganti Ifedayo tak jadi datang


  • Podium
  • Isnin, 29 Nov 2021

IFEDAYO bakal meninggalkan Selangor untuk menyertai Melaka United musim depan. — The Star

SELANGOR FC kini giat mencari pengganti Ifedayo Olusegun yang akan berhijrah ke Melaka United musim hadapan.

Idefayo tampil cemerlang bersama skuad The Red Giant apabila menjaringkan 26 gol dalam 22 perlawanan pada musim ini.

Namun jodohnya bersama Selangor tidak berpanjangan apabila tuntutan Ifedayo untuk kenaikan gaji tidak dapat dipenuhi.

Disebabkan itu, Selangor terpaksa melepaskan penyerang Nigeria itu ke Melaka United dan perlu mencari pengganti sesuai bagi membawa cabaran baharu musim depan.

Dilaporkan, Selangor berminat mendapatkan khidmat pemain terbaik tahunan Liga Perdana Singapura (SPL), Tomoyuki Doi musim depan.

Penyerang berbisa dari Jepun itu dikatakan layak menggantikan Ifedayo, sekali gus memberi ketajaman yang jitu buat skuad The Red Giant.

Majoriti difahamkan pihak pengurusan Selangor cuba memenuhi tuntutan gaji bintang Jepun berkenaan dan berkemungkinan ia bukan isu besar buat pasukan itu kerana sebelum ini turut menawarkan kenaikan gaji 30 peratus kepada Ifedayo, namun penyerang berdarah Nigeria-Bahrain itu nekad kembali menyarung jersi Melaka United musim depan.



DOI merekod prestasi yang baik dalam tempoh dua musim di SPL. — Agensi

Bagaimanapun perjanjian itu terbantut apabila Selangor dilaporkan menarik semula tawaran untuk mendapatkan Doi seperti dilaporkan media bola sepak Singapura, Lions of Asia.

Pemain tersebut merupakan tonggak utama buat kelab Jepun Albirex Niigata yang dijemput bermain Liga Singapura, pada musim lalu apabila meledak 11 gol dan tiga bantuan hantaran dalam 14 penampilan.

Pada musim itu juga, Doi mencatatkan 83 percubaan rembatan dan 43 percubaan tepat ke sasaran mengatasi mana-mana pemain dalam liga.

Susulan prestasi yang memberangsangkan bersama Niigata, Doi turut dipikat oleh Huogang United pada musim ini.

Musim ini, Doi bukan sahaja dinobatkan sebagai pemain terbaik liga tetapi juga meraih anugerah penjaring terbanyak selepas meledak 19 gol dalam 20 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram