SKIM Smart Sewa di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mempunyai beberapa kelemahan dikenal pasti dalam aspek pengurusan.
Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Aktiviti Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Selangor 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Negeri Selangor pada Isnin.
Menurut Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, keberkesanan program tersebut tidak dapat diukur memandangkan pembelian unit kediaman skim itu tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Penilaian keberhasilan juga belum pernah disediakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta SHartanah Selangor Sdn Bhd (PHSB).
"Antara kelemahan tersebut seperti kontrak tidak ditandatangan, surat tawaran lewat dikeluarkan kepada penyewa, tiada surat pembaharuan sewaan antara Hartanah Selangor serta Perumahan dan PHSSB dan penyewa serta pengurusan sewa yang kurang cekap," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, bagaimanapun, secara keseluruhannya skim tersebut dapat membantu rakyat Selangor yang masih tidak memiliki kediaman dan gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh kerajaan negeri dengan kadar sewa yang berpatutan.
Mengulas lanjut, beliau juga memberitahu, objektif pengurusan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Majlis Perbandaran Klang untuk mengukuhkan tahap kebersihan dan keselesaan penduduk masih belum dapat dicapai sepenuhnya.
Jelasnya, ia berdasarkan bilangan Notis Tindakan Pembetulan yang dikeluarkan bagi pembersihan awam melebihi 10,000 bagi tempoh yang diaudit.
"Kaedah pemantauan yang dijalankan adalah secara rawak dan tidak menyeluruh serta tidak memberi gambaran sebenar.
"Sebahagian besar responden pula memberi penilaian tahap sederhana sahaja bagi aspek prestasi kerja KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB), keselesaan dan kebersihan," ujarnya.
Hurainya lagi, terdapat aspek yang perlu ditambah baik, iaitu penilaian prestasi KDEB serta penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pembuangan sampah secara haram.
Nik Azman menambah, bagi pengurusan syarikat kerajaan negeri, objektif penubuhan Worldwide Holdings Bhd (WHB) secara keseluruhannya telah tercapai dalam projek pembangunan kediaman untuk rakyat Selangor dan perkhidmatan pengurusan alam sekitar.
"Bagaimanapun, projek Amber dan Azalea yang dipilih sebagai sampel audit mengalami kelewatan penyiapan, iaitu melebihi tempoh munasabah penyiapan projek mengikut standard Jabatan Kerja Raya.
"Projek Amber hanya dapat disiapkan dalam masa 48 bulan manakala projek Azalea siap dalam masa 44 bulan dari tempoh yang ditetapkan dalam kontrak dan wujud kelemahan dalam pengurusan penjualan projek kediaman seperti pemberian diskaun yang tidak teratur dan kadar harga jualan rumah yang melebihi nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta," jelasnya.
Kongsinya lagi, tapak Pelupusan Sisa Pepejal Secara Sanitari juga kurang cekap dalam menguruskan perjanjian pengoperasian iaitu kontrak pelupusan sisa pepejal lewat atau tidak ditandatangani dengan pihak berkuasa tempatan terlibat.
Katanya lagi, bagi aspek tadbir urus syarikat itu adalah baik namun perlu penambahbaikan dalam aspek pengerusi, lembaga pengarah, setiausaha syarikat, prosedur operasi standard, jawatankuasa audit, jawatankuasa pencalonan dan jawatankuasa imbuhan.
"Kedudukan kewangan WHB masih kukuh dengan mencatatkan trend lebihan keuntungan sebelum cukai untuk tiga tahun berturut-turut dan aliran tunai yang positif.
"Semua ketua agensi yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan dan Mesyuarat Penutup juga telah diadakan bagi tujuan membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit," tambahnya lagi.
Beliau turut memberitahu, bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh ketua agensi berkenaan, Jabatan Audit Negara juga telah mengemukakan 11 syor kepada agensi berkenaan untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram