'Rasa-Rasa Malay Aroi' dapat sambutan di selatan Thailand


  • Bizz
  • Isnin, 29 Nov 2021

HAIRUDDIN berkata produk-produk tempatan mampu menembusi pasaran Thailand. — Facebook

PROGRAM expo dan pameran produk makanan Halal Malaysia "Rasa-Rasa Malay Aroi” yang diadakan di Pattani, selatan Thailand bermula Sabtu lepas menerima respon baik daripada kalangan penduduk tempatan.

Kaunselor Pertanian, Pejabat Perwakilan Pertanian di Bangkok Hairuddin Maslan berkata produk makanan halal Malaysia jelas mendapat tempat di kalangan pengguna di selatan Thailand.

"Penerimaan pengunjung terhadap produk yang diketengahkan adalah sangat baik dan dijangka produk-produk ini mampu menembusi pasaran Thailand,” katanya kepada Bernama di Pattani, Thailand pada Isnin.

Program pameran dan expo produk Halal Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Pejabat Perwakilan Pertanian Bangkok, untuk meneroka potensi produk industri makanan keluaran usahawan kecil dan sederhana Malaysia di pasaran Thailand.

Melalui program "Rasa-Rasa Malay Aroi” di ASEAN Mall di Pattani bermula 27 November sehingga 5 Disember, produk makanan dan barangan penjagaan diri berasaskan hasil tani keluaran 31 usahawan bimbingan agensi di bawah MAFI dan agensi-agensi lain diperagakan.

Turut terlibat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Syarikat Unity Asia Link Sdn Bhd sebagai syarikat peneraju bertujuan mengenalpasti produk-produk yang mempunyai permintaan di kalangan pengguna di selatan Thailand, yang majoritinya beragama Islam dan mempunyai citarasa hampir sama dengan penduduk Malaysia.

Program ini juga dijangka dapat meningkatkan permintaan terhadap produk-produk makanan Halal negara dan sekaligus dapat membuka ruang pasaran baru kepada usahawan Malaysia untuk meningkatkan jualan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram