GERAKAN Buruh Bersama Rakyat (Gebrak) akan melakukan satu demonstrasi besar-besaran di hadapan Istana Presiden, Jakarta, Indonesia pada Isnin.
Demonstrasi itu bertujuan untuk menuntut Presiden, Joko Widodo menimbang semula Keputusan Presiden mengenai kenaikan upah minimum (UMP) 2022.
Menerusi keputusan Mahkamah Konstitusi (MK) di bawah Undang-Undang Cipta Kerja inkonstitusional bersyarat, UMP bagi 2022 akan ditangguhkan.
Wakil Komite Politik Buruh Indonesia (KPBI) Andi Panca berkata, penangguhan itu adalah sesuatu yang tidak patut dan perlu dinilai semula oleh Presiden.
"Jokowi perlu masuk campur berkenaan dengan keputusan MK. Lagipun republik ini tidak akan boleh bergerak jika ada undang-undang yang cacat," katanya.
Menurut Andi, puluhan ribu orang menerusi organisasi pergerakan buruh akan digerakkan dan berkumpul di Istana Presiden.
Jelasnya, puluhan ribu akan dikerahkan supaya Jokowi mengambil tahu dan bertindak demi perjuangan pekerja.
Sementara itu, wakil Liga Mahasiswa Nasional Demokrasi Dewan Nasional (LMND DN), Aldi berkata, dia juga menyeru mahasiswa di pelbagai kawasan untuk turun dan mengepung Istana Presiden pada hari Isnin.
"Pemerintah harus ambil peduli dengan upah rendah kerana itu akan mengancam masa depan mahasiswa selepas mereka menamatkan pelajaran dan mula bekerja.
"Kita semua anak muda akan berkumpul dan menuntut Jokowi memberikan keputusan yang tegas berhubung dengan isu ini," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram