Siap langgar lampu merah, Polis Port Dickson buru 'marsyal' tak bertauliah


  • Tular
  • Ahad, 21 Nov 2021

SEORANG 'marsyal' konvoi yang menghentikan kenderaan lain untuk memberi laluan kepada geng motosikalnya di Port Dickson pada Sabtu. — Facebook

KONVOI geng motosikal memang sudah menjadi ibarat acara rutin terutamanya pada hujung minggu.

Namun, ada segelintir yang mengambil kesempatan mereka berkonvoi beramai-ramai dengan menyekat jalan raya kononnya mahu melancarkan perjalanan.

Menerusi satu video tular di media sosial berdurasi lebih seminit itu memaparkan video sekumpulan geng motosikal berkuasa tinggi yang menghalang lalu lintas semata-mata untuk memberi laluan kepada motosikal mereka di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Malah, terdapat 'marsyal' dan geng-geng mereka yang menghentikan kenderaan lain di simpang empat semata-mata walaupun lampu isyarat ketika itu berwarna merah.

Ternyata tindakan kumpulan motosikal itu mengundang rasa marah warganet.

MAKANANNN

Antara reaksi warganet yang tidak berpuas hati dengan konvoi berkenaan. - Facebook

"Pihak kerajaan dah kena letak satu undang-undang untuk mereka yang berkonvoi ini. Letak syarat yang kena mohon polis bantuan supaya mereka tak sewenang-wenangnya berkuasa di jalan raya. Guna saluran yang betul," kata Nadiah M. Shariffuddin.

"Sesuka hati kau sahaja, lain la kalau ada polis pengiring. Hobi pun tapi jangan menyusahkan orang. Ikut undang-undang, lampu merah kena berhenti walaupun kau 1,000 buah kat situ," kata Rabiatul Tasliyah.

"Kalau aku jadi macam ini, aku akan tahan marsyal dan tanya lesen marsyal ada ke tak. Cara salah, ambil dia lorong, paksa kereta jalan dan konvoi nampak berterabur," kata Man Azman.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya sedang memburu individu yang kononnya menjadi marsyal.

"Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah dan tujuan tindakan marsyal dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dalam konvoi bagi melepasi lampu isyarat," katanya.

Difahamkan, konvoi motosikal berkuasa besar itu bergerak dari Lebuh Raya Seremban - Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala, Telok Kemang Negeri Sembilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tular, Konvoi, Motosikal, Polis, Port Dickson,