Zahid, Rauf dikompaun RM10,000 langgar SOP PRN Melaka


  • Primer
  • Ahad, 21 Nov 2021

ZAHID (enam dari kiri) dan Rauf (tiga dari kanan) didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 November lalu. — Facebook

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan kedua-dua pemimpin itu didapati melanggar SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, iaitu menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

"Siasatan yang dijalankan oleh KKM mendapati telah berlaku pelanggaran SOP semasa tempoh PRN Melaka oleh kedua-dua individu tersebut pada 19 November 2021 di kawasan Masjid Tanah.

"Justeru, satu (1) kompaun di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 bernilai RM10,000 bagi setiap individu telah dikeluarkan," menurut kenyataan itu.

Tegas KKM, pihaknya akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP.

KKM turut menyeru seluruh masyarakat untuk terus patuh kepada arahan SOP, sentiasa prihatin kepada keselamatan rakyat dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram