Rauf, Sulaiman berebut jawatan Ketua Menteri Melaka?


  • Politik
  • Ahad, 21 Nov 2021

RAUF menegaskan beliau tidak akan mengganggu gugat kerajaan baharu negeri Melaka yang dibentuk semula. — Bernama

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Rauf Yusoh menyerahkan kepada Umno untuk menjelaskan sebab ketidakhadirannya pada majlis angkat sumpah pelantikan semula Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada pagi Ahad.

Rauf yang merupakan Pengerusi Umno Melaka, tidak hadir pada majlis angkat sumpah tersebut.

Susulan itu, sekutu Umno di Melaka mempersoalkan tindakan terburu-buru mengadakan majlis mengangkat sumpah pada pukul 1 pagi Ahad.

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Rauf Yusoh cuba menuntut jawatan Ketua Menteri.

Beliau dilaporkan cuba melobi pemimpin tertinggi parti terbabit termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, BN menegaskan mereka tidak boleh menukar manifesto yang mencalonkan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.

Rauf enggan mengulas lanjut sama ada beliau membuat cubaan terakhir untuk menjadi Ketua Menteri tetapi menegaskan tidak berniat untuk mengganggu gugat kerajaan baharu.

"Mengapa perlu saya menjatuhkan kerajaan yang saya bantu bangunkan? Saya akan membantu Sulaiman, beliau rakan saya. Saya akan memberikan sokongan padu kepadanya.

"Saya mahu mengelak situasi perebutan kuasa. Saya mahu melihat gabungan yang baik supaya kita boleh bekerjasama untuk membawa Melaka ke hadapan," jelasnya kepada The Star.

Beliau bergelut untuk menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dengan hanya 364 undi, turun daripada majoriti 4,865 pada 2018.

Walaupun mengaku menyokong Sulaiman, Rauf menyatakan beliau akan bertemu ketua-ketua bahagian Umno pada Ahad dan akan mengadakan sidang media pada hari yang sama.

Rauf tidak mengulas lebih mendalam tentang tujuan sidang akhbar itu tetapi berkata, beliau hanya mahu memainkan peranan dalam kerajaan negeri dan terpulang kepada Ketua Menteri memutuskan peranan yang sesuai untuknya.

"Mereka harus menunjukkan sedikit penghargaan dan berbincang dengan saya," kata Rauf yang sebelum ini menjadi speaker DUN.

Ada kemungkinan Rauf kini cuba memastikan Sulaiman tidak mengenepikannya daripada jawatan Exco kerajaan negeri. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram