'Kenapa tuduh kapcai jentera pembunuh sedangkan jalan raya yang teruk?'


RAMAI penunggang motosikal 'kapcai' kecewa apabila ada pihak menyifatkan kenderaan itu sebagai 'jentera pembunuh'. — Gambar hiasan/AFIQUE YUSOFF/The Star

KECEWA dengan kenyataan yang mengatakan bahawa motosikal kapcai sebagai jentera pembunuh, seorang pengguna media sosial, Noriman Shuhaimi melahirkan rasa amarah menerusi akaun Facebook miliknya.

Menerusi status yang dimuat naiknya pada Isnin, Noriman berkata, dia tidak menolak jika ada yang mengatakan bahawa aktiviti rempit antara yang merisikokan nyawa penunggang motosikal.

Tetapi ujarnya, mengatakan jentera kapcai sebagai pembunuh adalah sesuatu yang tidak kena sedangkan kajian sepatutnya dilakukan berkenaan dengan keadaan jalan raya atau kemudahan motosikal.

"Kenapa tak buat kajian tentang kemudahan motosikal? Kenapa tak buat kajian tentang faktor utama penunggang motosikal ini mati disebabkan jalan raya?

"Kenapa tak buat kajian tentang barang modifikasi motor kapcai banyak dijual? Senang didapati di semua tempat?

"Bang jangan b*****g bang. Tahun lepas berapa ramai mati disebabkan jalan raya yang teruk serupa h***m jadah tu. Bukan mat rempit sahaja yang mati, tapi orang tua yang menunggang motor kapcai mati disebabkan jalan raya," katanya.

netzzzzz

ANTARA komen netizen terhadap status yang dibangkitkan Noriman di Facebook.

Dalam pada itu, Noriman turut mempersoalkan mengapa ujian bagi lesen memandu, jentera motosikal juga perlu melalui kawasan berbonggol dengan alasan untuk membiasakan diri dengan keadaan jalan raya yang tidak rata.

Tegas Noriman, kenapa rakyat perlu menerima keadaan jalan sebegitu sedangkan bayaran cukai sudah dibuat, tetapi jalan macam tahun 1990an.

Status Noriman mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut senada dengannya.

Terdahulu pada Isnin, bekas Ketua Bahagian Perancangan dan Polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan menyifatkan motosikal 'kapcai' sebagai 'jentera pembunuh' berdasarkan kadar kematian penunggang membabitkannya yang tinggi.

“Di Malaysia, ‘kapcai’ adalah jentera pembunuh yang mengakibatkan banyak kematian – secara purata 4,100 kematian setahun dalam tempoh 12 tahun – dan ini adalah kehilangan produktiviti bagi negara,” katanya pada sebuah program bual bicara di Astro Awani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram