Dapat duit jika lengkap dua dos vaksin


  • Benua
  • Selasa, 16 Nov 2021

ORANG ramai sedang menunggu giliran sebelum disuntik vaksin di Pusat Pemberian Vaksin di Kiev, Ukraine baru-baru ini. — AFP

KERAJAAN Ukraine menawarkan insentif tunai kepada penduduknya untuk melengkapkan dua dos vaksin dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi negara itu.

Presidennya, Volodymyr Zelensky berkata, mereka yang mempunyai dua dos akan dapat menerima 1,000 Hryvnias (kira-kira RM167), lapor AFP.

Ia jumlah yang cukup besar untuk warga salah satu negara termiskin di Eropah itu apabila hanya kurang daripada satu pertiga daripada penduduknya telah lengkap divaksin sepenuhnya.

Menurut beliau, wang itu boleh digunakan untuk membeli keahlian kelab sukan, tiket pawagam, teater atau muzium, atau tiket kereta api serta kapal terbang untuk perjalanan dalam negara.

"Ini adalah sektor yang paling teruk terjejas kerana sekatan," katanya.

Kerajaan Ukraine dijangka meluluskan 200 juta Euro (kira-kira RM953 juta) untuk skim itu dalam beberapa bulan akan datang yang akan dilancarkan pada 19 Disember ini.

Negara dengan 45 juta penduduk itu kini sedang mengalami gelombang wabak yang paling teruk disebabkan varian Delta yang meningkat dengan tahap keraguan vaksin yang tinggi dalam kalangan penduduk.

Biarpun pelbagai sekatan dikenakan kepada mereka yang tidak divaksin, hanya 28 peratus rakyat Ukraine menerima dua dos vaksin setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram