'Judi itu budaya tidak baik untuk kaum Tiong Hua'


KEDAH mahu menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian. — Gambar hiasan/The Star

LANGKAH kerajaan Kedah mengharamkan perniagaan premis nombor ekor di negeri itu menerima pelbagai reaksi.

Ada yang bersetuju dengan langkah terbabit dan ada juga membantah tindakan itu termasuklah Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng.

Beliau mendakwa, tindakan Kedah itu bertentangan dengan prinsip kepelbagaian budaya dan pluralisme di negara ini.

Namun pada Isnin, seorang peguam berbangsa Cina, Tai Zee How menerusi laman Facebook miliknya iaitu 'Ulasan Apek Cina' berkongsi tentang isu pengharaman tersebut.

"Tadi ada anak guaman saya (kaum Tiong Hua) berbincang dengan saya mengenai isu kerajaan Kedah haramkan kedai nombor ekor. Dia kata, kerajaan nak haramkan kebudayaan Tiong Hua.

"Saya gelak. Jawapan saya kepada beliau adalah sebegini: "Kebudayaan ada yang baik dan tak baik. Misalnya, kebudayaan Tiong Hua yang baik termasuk 'taat kepada ibubapa', 'kesetiaan kepada Raja dan negara' dan 'mengikut adat tempatan'," tulisnya.

Netz 161121

Antara komen warganet di Facebook Ulasan Apek Cina. — Facebook

Tambah Zee How, budaya tidak baik termasuklah adat yang tidak adil terhadap wanita dan rasuah.

"Budaya judi itu budaya yang tidak baik. Kami (masyarakat) Tiong Hua memang ada sifat untuk membuang kebudayaan yang tidak baik. Kerajaan yang mengamalkan kebudayaan Tiong Hua tidak menyokong judi seperti China.

"Macau dan Singapura ada kasino kerana terpengaruh dengan kebudayaan Portugal dan British. Untuk menjawab (persoalan) anak guaman tadi, saya katakan kerajaan telah membantu kaum Tiong Hua untuk membuang kebudayaan yang buruk.

"Saya banyak nampak keburukan judi, sah atau haram. Namun saya ada nasihat kepada kerajaan Kedah. Jikalau anda tidak bersedia untuk mengatasi masalah penjualan nombor ekor haram, maka tutup kedai jualan nombor ekor yang sah akan membantu perkembangan penjualan nombor ekor haram.

"Adakah kerajaan Kedah mempunyai rancangan yang teratur dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk mengatasi penjualan nombor ekor haram?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Facebook, Tai Zee How, nombor ekor, Kedah, judi