CEKODOK pisang dan cucur ikan bilis bersama kucai tetap menjadi pilihan walaupun dihidangkan dengan burger McDonalds di depan mata.
Begitulah reaksi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas menerima kiriman bungkusan makanan segera McDonalds daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Isnin.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada pagi Selasa, Muhammad Sanusi berkata, keenakan cekodok pisang dan ikan bilis tidak boleh dibandingkan dengan makanan segera Barat itu.
"Coqkodok pisang dan coqbilih kucai tetap menjadi pilihan walaupun ada setambun McD di depan...selera bahan tempatan yang segar tak mungkin dapat direntap burger dan ayam daging hidangan mat saleh hidung merah berkasut besar," tulisnya.
Menerusi hantaran itu juga, Muhammad Sanusi dilihat tidak menyentuh hidangan McDonalds yang diberikan sebaliknya menjamah sepinggan cekodok bilis dan pisang bersama secawan kopi-O.
Hidangan McDonalds berupa kentang goreng, burger Spicy Chicken McDeluxe dan air bergas yang dikirim dilihat masih tersusun kemas di dalam bungkusan masing-masing seolah-olah tidak diusik langsung Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu.
Terdahulu, pada Isnin, Muhammad Sanusi menerima kiriman sejambak bunga ros merah dan beberapa bungkusan makanan segera McDonalds daripada Tunku Ismail.
Dalam satu hantaran berbeza di Facebook, beliau berkongsikan gambar bunga ros dengan nota bertulis, “dengan ingatan tulus ikhlas dari TMJ,"
“Menjunjung Kasih TMJ atas kiriman bunga dan McDonalds, hari Khamis ini kita berentap lagi, kalah, seri atau menang adalah adat perlawanan. Kasi panas ‘line’ itu wajib laaa,” tulisnya.
Sementara itu, TMJ dalam perkongsian di IG Stories turut memuat naik kepingan foto yang memaparkan Muhammad Sanusi bersama jambakan bunga yang diterimanya dengan tampalan stiker bertulis “Aww sweet,” pada Isnin.
TANGKAP layar perkongsian foto dari IG Stories Tunku Ismail. — Instagram
Sebelum ini, platform media sosial hangat dengan sindiran pedas di antara Tunku Ismail dan Muhammad Sanusi selepas isu pembayaran gaji pemain KDA FC dibangkitkan oleh Tunku Ismail.
Tulis Tunku Ismail, “Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol”.
Bagaimanapun, Sanusi tampil menyangkal dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa pihaknya telah selesai membuat bayaran tunggakan gaji pemain negeri itu.
“La ni bulan sebelaih dah... bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa??? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia,” katanya.
Melalui satu lagi hantaran, Muhammad Sanusi menambah kenyataan berupa sindiran yang menunjukkan bahawa beliau telah sekian lama bermain bola sepak berbanding TMJ.
“Hang tak pakai seluaq lagi aku main bola dah.. La ni pun dok main bola lagi.. diet apa diet?” tambahnya lagi pada Ahad.
Susulan insiden perang mulut tersebut, perlawanan di antara KDA FC dan JDT dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menjadi tumpuan orang ramai yang mana pertembungan kedua-dua pasukan itu hanya berakhir dengan seri tanpa jaringan pada malam Isnin.
Kedua-dua pasukan akan kembali membuat perhitungan dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Johor pada malam Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram