LEGENDA Liverpool, Ian Rush pernah menyuarakan pendapat bahawa Cristiano Ronaldo berkelayakan untuk mengambil alih tugas Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Manchester United.
Pengendali semasa The Red Devils itu sememangnya berada di bawah tekanan hebat berikutan prestasi buruk kelab sejak September.
Man United tewas dalam perlawanan kepada musuh ketatnya, Liverpool dan Manchester City dengan agregat 7-0.
Pertaruhan terhadap Ronaldo untuk menggantikan Solskjaer sebagai pengendali kelab timbul meskipun ada nama-nama lain yang lebih layak seperti Brendan Rodgers, Zinedine Zidane dan Mauricio Pochettino.
Melihat kepada situasi itu, hampir pasti Ronaldo tidak akan menggantikan Solskjaer, namun Rush memberikan hujahannya mengenai apa yang harus mereka lakukan dengan Solskjaer.
Menerusi satu interviu dengan gambling.com, Rush berkata, terdapat cakap-cakap kononnya bekas pemain Juventus itu berkelayakan untuk menjadi pengurus Man United yang seterusnya.
“Saya melihatnya sebagai perbincangan di atas kertas dan tidak lebih daripada itu. Tetapi apabila saya melihat Ronaldo, saya melihat dia sebagai seorang pemimpin.
"Namun melainkan Sir Alex Ferguson ada di sampingnya, saya tidak melihat dia menguruskan Man United dalam masa terdekat!" katanya.
Rush berkata, dia dapat melihat ketokohan Ronaldo sebagai pengurus apabila Portugal memenangi Euro pada 2016, apabila dia terpaksa dikeluarkan kerana cedera.
"Ketika direhatkan, dia tidak duduk sahaja sebaliknya memberi arahan, memotivasikan pasukan dan di sini mungkin kami melihat terbentuknya bakat seorang pengurus dalam diri Ronaldo.
"Kami tahu dia ada kemahuan mengikut kehendaknya dan ia antara ciri diperlukan sebagai pengurus. Dia juga cenderung mengawal keadaan.
"Bagaimanapun untuk menguruskan kelab besar seperti Manchester United, anda memerlukan pengalaman pengurusan yang betul dan itulah sebabnya saya tidak percaya cakap-cakap kononnya dia akan menggantikan Solskjaer," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram