'Alahai Karen hanya kena RM3,000, ibarat celah gigi saja'


MINAH saleh digelar 'Karen' yang dirakam melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka di BSC dan KLCC baru-baru ini. — Twitter

RATA-RATA netizen tidak berpuas hati dengan jumlah kompaun RM3,000 yang dikenakan terhadap 'Karen' kerana menyifatkan denda tersebut tidak cukup tegas memandangkan wanita tersebut didapati melakukan kesalahan berulang.

Bahkan sebahagian warganet berpendapat jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan nilai mata wang asing yang jauh lebih tinggi daripada Ringgit Malaysia (RM).

"Karen yang sama kan? Kesalahan berulang kan? Nilai kompaun dalam RM ke USD tu?," soal Sharul Roul Bashar di Facebook pada Ahad.

netz karenz

TANGKAP layar komen netizen terhadap jumlah kompaun RM3,000 yang dikenakan terhadap 'Karen'. — Facebook

Seorang netizen, Iskandar Hanafi berkata, RM3,000 yang dikenakan kepada minah saleh tersebut mungkin dirasakan nilai seperti RM30.

"Celah gigi je guna mata wang asing bayar kompaun itu," kata Fadhli Malek.

Selain itu, ramai berpendapat, layanan tersebut tidak adil serta berat sebelah jika dibandingkan dengan segelintir individu rakyat tempatan yang dikenakan kompaun RM10,000 dan RM20,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Kalau rakyat Malaysia dah siap kena tangkap masuk lokap, mahkamah denda RM10,000," tulis Shah Say.

Sementara itu, Syazmi Chebby Loren berkata, tindakan lebih tegas seperti menghantar pulang warga asing berkenaan ke negara asal perlu diambil sebagai pengajaran.

"Hantar pulang je. Buat macam Singapura. Kalau tak nak hantar pulang, masukkan ke lokap," katanya.

netz karenz 2

TANGKAP layar komen netizen terhadap jumlah kompaun RM3,000 yang dikenakan terhadap 'Karen'. — Facebook

Pada Ahad, polis mengeluarkan dua kompaun dengan jumlah keseluruhan RM3,000 kepada seorang wanita warga asing yang menimbulkan kekecohan selepas dihalang masuk ke sebuah butik di KLCC baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, wanita itu dikompaun pada Ahad atas dua kesalahan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

“Dua kompaun dikeluarkan ke atas individu terbabit yang mana setiap satu kesalahan berjumlah RM1,500.

“Kesalahan pertama ialah tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera di kawasan capaian Internet yang luas.

“Manakala kesalahan kedua pula ialah tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Baru-baru ini, wanita digelar sebagai ‘Karen’ itu tular di media sosial selepas menimbulkan kekecohan akibat tidak dibenar masuk ke sebuah butik di KLCC.

Malah, dua hari selepas insiden itu, wanita tersebut didapati membuat kecoh di pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC) kerana tampil tanpa memakai pelitup muka di khalayak ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram