SELEPAS buat kecoh di pusat beli-belah KLCC sehingga videonya tular di laman sosial, minah saleh digelar 'Karen' nampak gaya tidak serik selepas dipercayai muncul di khalayak ramai tanpa mengenakan pelitup muka.
Kedegilannya tampil tanpa memakai pelitup muka, kali ini dipercayai di pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre di Bangsar, Kuala Lumpur, menimbulkan kemarahan netizen.
Menerusi satu video tular di Twitter pada Jumaat, minah saleh berambut pendek itu kelihatan memarahi seorang penjaga keselamatan kerana tidak membenarkannya masuk ke premis tersebut.
Pengguna Twitter @nabilaaazeez yang berkongsi video itu mendakwa wanita tersebut adalah wanita yang sama mengamuk di Dior KLCC sebelum ini.
"Ternampak The Karen buat kecoh, kali ini di BSC!'," tulisnya sambil menyertakan tanda pagar #KarenDior dan #KarenKLCC.
Video yang tular sejak pagi Jumaat itu mendapat lebih 50,000 tontonan setakat ini selain turut tular di laman Facebook.
TANGKAP layar komen netizen terhadap kedegilan 'Karen' memakai pelitup muka. — Facebook
Seorang netizen, Norafidah Zainuddin kecewa kerana wanita itu dilihat sukar untuk mematuhi undang-undang Malaysia.
"Apa masalah lah dia ni. Masuk malaysia ikut la undang-undang negara Malaysia. Dah pemakaian pelitup muka itu wajib. Apa susah sangat nak ikut. Kami yang warganegara pun ikut je SOP (prosedur operasi standard).
"Tak ikut SOP nanti, kena kompaun pula. Jadi sila kompaun acik (wanita) ni. Sukati dia saja," tulisnya di Facebook.
Rosiah Yusoff pula berkata, "Dia ingat dia istimewa sangat ke? Tak payah ikut undang-undang negara mana dia berada. Super VVIP kah dia?,"
Pada Rabu, satu video tular menunjukkan seorang minah saleh marah-marah di KLCC kerana dihalang memasuki butik Dior di pusat beli-belah terkemuka itu.
Dalam perkembangan sama, polis Kuala Lumpur telah mengenal pasti seorang wanita warga asing yang mencetuskan kekecohan itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis telah membuka siasatan berhubung kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram