KEHIDUPAN yang kita lalui hari ini sentiasa dipenuhi dengan pelbagai ujian tidak kira kecil atau besar cabaran yang perlu ditempuhi, sama ada kita bersedia atau tidak.
Pastinya, matlamat setiap ujian yang diturunkan adalah untuk mematangkan kita dan menjadi lebih kuat dalam mengharungi setiap musibah yang melanda.
Yang penting, kita perlu bersabar dan tahu cara untuk menghadapi setiap dugaan tersebut.
BACA LAGI: Mohon kesembuhan kanser payudara, mahu jadi pembayar zakat antara doa jemaah asnaf depan Kaabah
Sebagai umat Islam, kita dituntut sentiasa mengadu dengan bermunajat kepada ALLAH setiap kali dilanda musibah, sama seperti diamalkan Rasullah SAW ketika diuji sepanjang menyampaikan dakwah Islam di zaman jahiliah.
Amalan bermunajat kepada ALLAH sebenarnya tidak mengira tempat tapi bagi mereka yang mampu dan mahu berasa dekat kepada ALLAH, ada yang sanggup terbang ke Makkah menziarahi Baitullah.
Nur Syadatul Ilmaa Zulkepli hadir ke Makkah dengan pelbagai asbab tetapi satu sebab yang jelas adalah mahu mengadu kepada ALLAH.
Tahun 2025 bukanlah tahun terbaik buat diri wanita kelahiran Kuantan, Pahang itu kerana diuji dengan ujian berat.
Enggan memperincikan ujian yang dihadapi, Nur Syadatul hanya mengharapkan doanya di depan Kaabah diterima ALLAH, sekali gus menjadi berita gembira sebagai 'ganjaran' melepasi ujian yang melanda.

Nur Syadatul (dua dari kanan) berkongsi asbab dia menunaikan umrah.
"Adalah tragedi yang berlaku pada tahun ini. Lebih kepada dikecewakan tetapi bukan soal hubungan peribadi atau membabitkan keluarga.
"Bukan sebab kecewa saya datang sini. Sebelum ini memang dah pasang niat untuk buat umrah tapi krisis yang berlaku menguatkan lagi asbab untuk datang ke sini.
"Di sebalik doa yang dititipkan, saya sedar ujian yang dilalui ini membuktikan kita tak boleh bergantung kepada manusia.
"ALLAH dah tulis rezeki kita. Jangan sesekali berharap kepada manusia. Jangan sesekali mencari reda manusia," katanya yang bekerja sebagai pegawai pemasaran dan mengakui tujun ke umrah untuk lari daripada kesibukan bekerja.
Berkongsi sebab yang lebih kurang sama, Khadijah Hanani Abdul Aziz terdetik hati untuk menunaikan umrah selepas merasakan dirinya semakin jauh dari ALLAH.
Tanpa persediaan yang rapi, Khadijah mengakui kehadirannya ke Tanah Suci adalah atas ajakan rakannya, Nurul Hafizah Mohd Aman dan mereka berdua bekerja di bidang yang sama iaitu pengamal undang-undang.

Seramai 87 jemaah umrah di bawah IKHLAS.com mengabdikan kenangan di Masjid Quba', Madinah.
"Masa tu saya rasa nak pergi tapi tak buat sebarang persediaan. Kemudian Hafizah beritahu dia dah tempah tiket.
"Lagilah saya risau, fikir macam-macam sama ada layak ke datang ke sini.
"Tapi bila dah sampai sini, saya ingat semula tujuan utama untuk dekatkan diri kepada ALLAH.
"Maksudnya, selama ini kita sentiasa fikirkan puaskan hati manusia dan sibuk bekerja, tapi kita lupa yang kita patut beri apa yang ALLAH nak," katanya yang berkongsi jawapan hampir sama dengan rakannya, Nurul Hafizah.
Sebagai tambahan, Nurul Hafizah menyifatkan hajatnya menunaikan umrah sebagai salah satu pencapaian dalam hidupnya.
"Umrah ini something macam milestone. Saya nak tengok apa yang saya capai. Tapi still kena reflect diri juga.
"Kita kena buat analisis sama ada capai ke tak tujuan tu," katanya.

Kenangan 87 jemaah umrah IKHLAS.com di Uhud, Madinah.
Seorang lagi wanita, Nor Asyikin Saidin berasal dari Serdang, Kedah, pula mencari ketenangan apabila dijemput menjadi tetamu ALLAH dan merebut peluang untuk memperbaiki dirinya.
Katanya, sekian lama dia 'mengabdikan diri' terhadap dunia dengan fokus kepada pekerjaan, tiba masanya untuk dia mendekatkan diri pada Sang Pencipta.
"Saya pun dah lama tak bercuti, asyik bekerja. Jadi umrah ini ibarat 'healing' dan mencari ketenangan," katanya yang bekerja sebagai kerani.
Mereka berempat antara 87 jemaah yang mengikut pakej umrah menerusi IKHLAS.com pada November lalu.
Antara jemaah tersebut, terdapat 15 golongan asnaf yang ditaja di bawah Program Umrah 1,000 Asnaf oleh IKHLAS.com. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
