‘Jangan benci, dia tetap bapa kau,’ anak ingat pesan keramat, tetap minta izin ayah temani ibu tunai umrah


  • Bonda
  • Ahad, 14 Dis 2025

Hazian (dua dari kanan) dan Nurin (tiga dari kanan) mengabdikan kenangan bersama ketika di Madinah.

“REDA sajalah’. Itu jawapan Nurin Hanissah Pakaruddin apabila ditanya sama ada terdetik di hati untuk memaafkan ayahnya saat berada depan Kaabah.

Gadis berusia 27 tahun itu merupakan sebahagian jemaah yang diberi izin ALLAH menunaikan umrah bersama IKHLAS.com baru-baru ini.

Tugasnya amat mulia kerana dapat menenami ibunya, Hazian Abd Aziz yang mendapat tajaan penuh daripada IKHLAS.com menerusi Program Asnaf 1,000 Umrah bersama 15 asnaf lain pada 11 hingga 18 November lalu.

BACA LAGI: Mohon kesembuhan kanser payudara, mahu jadi pembayar zakat antara doa jemaah asnaf depan Kaabah

BACA LAGI: 'Sebelum tutup mata, mak nak tengok adik beradik bersatu kembali', pesan ibu dikirim jadi doa anak di Baitullah

Dalam keadaan ibunya yang dalam pemulihan selepas menjalani pembedahan di bahagian tapak kaki pada Mac lalu, Nurin mengerah kudrat dan tenaga membantu ibunya menyempurnakan ibadah Islam itu dengan sebaik-baiknya.

Hazian mengakui, kesakitan yang ditanggungnya sukar diungkapkan, lebih-lebih lagi selepas melakukan tawaf.

“Kesan sakitnya terasa ke seluruh bahagian kaki, sampai ke pinggang.

“Saya rasa macam nak menangis tapi saya kuatkan semangat untuk sempurnakan umrah,” imbas wanita berusia 57 tahun yang menetap di Gombak bersama tiga anaknya.

Dengan kehadiran Nurin sebagai peneman, Hazian berasa lega kerana pengurusan dirinya dapat dibantu oleh anak sulungnya itu.

Nurin dan ibunya (berjubah hitam) ketika mendengar taklimat sebelum melakukan ibadah tawaf. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com

Malah katanya, mutawif di bawah IKHLAS.com juga sentiasa membantu memudahkan urusan selain memberi nasihat serta kata semangat sepanjang melakukan umrah.

“Saya anggap ini ujian ALLAH sebab banyak dosa kita pada-NYA.

‘Setidak-tidaknya saya dapat bertawaf dan melakukan saie sehingga habis,” kata bekas pekerja bank itu.

Dengan keadaan dirinya yang tidak boleh bergerak banyak, Hazian tetap ‘melepaskan’ Nurin untuk bebas bergerak sama ada untuk beribadah di Masjdilharam atau Masjid Nabawi ketika di Madinah kerana tidak mahu menyekat kemahuan anaknya.

“Lepas selesai tawaf dan saie kali pertama, dua hari saya terpaksa rehat di hotel, tapi saya suruh Nurin ikut aktiviti lain seperti ziarah dan umrah kedua.

“Yang penting saya, dapat doakan untuk anak-anak saya di depan Kaabah.

“Semoga mereka mendapat jodoh yang baik, kerja yang baik dan memiliki akhlak terpuji”, kata anak bongsu dari lapan beradik itu.

Menyentuh soal doa akhlak itu, Hazian berkata, dia memahami perasaan anak-anaknya yang dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah akibat hubungannya dengan bekas suami.

Nurin (bertudung perang) mengakui terkesan dengan dugaan yang dihadapinya sejak kecil. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com

Namun dia sering kali mengingatkan anak-anaknya supaya menjaga akhlak dan segala yang berlaku adalah antara dia dan bekas suami.

“Saya selalu pesan pada anak-anak. Apa pun jadi, dia tetap bapa kau, nanti kau orang nak kahwin, dia juga yang akan jadi wali.

“Saya takkan ajar anak-anak saya membenci ayah mereka walaupun saya tahu mereka sedih apabila tengok kawan-kawan lagi ada keluarga yang bahagia,” katanya sebak.

Bagi Nurin, perasaan ditinggalkan bapa ketika usia enam tahun, benar-benar membekas di hatinya, apatah lagi sebagai anak sulung daripada dua beradik.

Pastinya, Nurin memikul tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ bagi memastikan ibu dan adik-adiknya dapat menjalani kehidupan dengan baik.

Tambahan pula, seorang adik perempuannya berusia 25 tahun dan seorang lagi adik lelaki berusia 21 tahun, masih belajar.

Tapi berkat kesabaran yang ditempuh bersama ibunya, panggilan menunaikan umrah ibarat sinar yang dinanti selama ini bagi menyembuhkan segala kedukaan.

Peluang menemani ibu menunaikan umrah merupakan saat paling gembira buat Nurin. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com

“Bila dapat tahu ummi (Hazian) dipilih ke Makkah, saya gembira sangat sebab tahu ummi nak sangat ke sana.

“Dan hati ini gembira sangat bila dapat teman ummi tunaikan umrah sebab selama ini pun kami hidup dengan ummi, tempuh macam-macam dugaan,” katanya.

Atas pesanan ibunya supaya menjaga akhlak yang baik, Nurin tetap meminta izin daripada bapanya untuk menemani Hazian menunaikan umrah.

Nurin menganggap perkara yang berlaku dalam hidupnya sebagai satu daripada ujian ALLAH dan menguatkan semangat untuk menempuhnya.

“Reda sajalah. Yang saya rasa bersyukur, dapat doakan untuk ibu dan adik-adik.

“Saya doakan ummi sihat, ALLAH panjangkan umur dia, tengok saya kahwin dan saya dapat bantu keluarga, insya-ALLAH,” katanya mengimbas kembali doa yang dipanjat di depan Kaabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram