'Sebelum tutup mata, mak nak tengok adik beradik bersatu kembali', pesan ibu dikirim jadi doa anak di Baitullah


  • Bonda
  • Selasa, 25 Nov 2025

Peluang untuk berdoa di depan Kabaah amat dinanti-nantikan seluruh umat Islam. — Ustaz Salman/IKHLAS.com

PELUANG dapat berdoa depan Kaabah atau dalam Raudah bukan mudah untuk dimiliki kerana ia semua adalah ketentuan daripada ALLAH.

Malah jemputan sebagai tetamu ALLAH ke Tanah Suci Makkah dan Madinah juga belum tentu menjamin kita untuk merasai kedua-dua peluang berkenaan.

Dengan keadaan yang sesak di kawasan mataf dan jutaan jemaah yang cuba memasuki Raudah, menyulitkan kesempatan untuk mendekati Kaabah atau memasuki Raudah.

BACA LAGI: Khutbah 'istimewa' Masjid Nabawi, hujan Subuh di Makkah pahat kenangan 15 jemaah asnaf tajaan IKHLAS.com

BACA LAGI: Mohon kesembuhan kanser payudara, mahu jadi pembayar zakat antara doa jemaah asnaf depan Kaabah

Tetapi dengan kuasa dan kehendak ALLAH, dua wanita bertuah ini dapat merasai nikmat yang telah lama diimpikan, apatah lagi dengan status sebagai asnaf.

Kesempitan hidup yang dilalui seolah-olah menutup peluang mereka untuk menjalani umrah tetapi siapa sangka bahawa perancangan ALLAH lebih hebat.

Dengan tajaan IKHLAS.com di bawah Program Umrah 1,000 Asnaf, Suzana Mat Yasin dan Norlela Md Sahat akhirnya dapat menjejakkan kaki di tempat idaman seluruh umat Islam ini.

Di sebalik kegembiraan dan sebaknya hati dapat menziarahi kota Rasullah dan menjadi tetamu ALLAH, mereka memiliki misi tersendiri untuk memanjatkan doa khusus kepada ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Kedua-dua mereka rupanya berkongsi satu dugaan yang sama iaitu isu hubungan kekeluargaan.

Salah seorang jemaah mengambil peluang berdoa di depan Kaabah. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com

Seperti dikongsikan Suzana, keretakan hubungan antara dia dan anak-anaknya, membuatkan dia bermunasabah sepanjang berada di Tanah Suci tentang kehidupannya yang lepas sehingga diuji sedemikian.

Malah tawaran untuk menjalani umrah itu juga menjentik hatinya supaya berubah dengan kesempatan yang dimiliki ke Makkah dan Madinah.

“Masa dapat tawaran, saya fikir saya terpilih sebab terlalu jahil agaknya. Kita tahu tahap diri kita yang sebenar.

“Mungkin ini peluang untuk suruh saya berubah, cukupkan solat. Yelah, selama ini, solat pun main ‘terjun’ saja,” kata wanita berasal dari Gombak itu.

Tanpa sebarang kerja dan bergantung kepada bantuan Baitulmal untuk menanggung kos sewa rumah, wanita berusia 59 tahun itu pernah menanggung derita apabila kehilangan anak perempuan berusia 10 tahun akibat kanser.

Kini Suzana mengakui hubungan dengan anak-anaknya kurang baik, menyebabkan hal itu menjadi keutamaan buat dirinya berdoa kepada ALLAH agar pertalian keluarga mereka kembali pulih seperti biasa.

Suzana (tengah) mahu hubungan dengan anak-anaknya kembali pulih. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com

“Saya berdoa banyak-banyak agar anak-anak kembali bersatu. Yang mana terputus hubungan sebelum ini kembali ditemukan dengan izin ALLAH.

“Memang ada saya terputus hubungan dengan anak nombor tiga selama empat tahun. Sehinggalah sebelum saya naik pesawat, tiba-tiba anak nombor dua bagi tahu ‘Mi, adik kirim salam’.

“Dia anak perempuan dan merajuk sebab saya marah dia kahwin dengan orang lain walaupun sebelum itu dia kawan dengan orang lain,” kata wanita yang dikurniakan empat orang anak itu.

Suzana berkata, mesej ringkas yang diterima daripada anak ketiganya itu sudah cukup membuatkan dirinya bertambah semangat dan berharap agar hubungan keluarganya akan kembali terjalin seperti dulu.

Dia antara 15 jemaah asnaf yang mengikuti Program Umrah 1,000 Asnaf di bawah tajaan IKHLAS.com untuk menunaikan ibadah tersebut pada 11 hingga 18 November lalu.

Seorang lagi tetamu istimewa IKHLAS.com, Norlela pula berkongsi, doa untuk kesejahteraan hubungan keluarga paling penting buat dirinya berbanding soal kesempitan hidup yang dilalui selama ini.

Status sebagai anak yatim selepas kehilangan ayah, membuatkan Norlela yang tinggal di Danau Kota, Setapak, sedar betapa mustahaknya menjaga hubungan sesama adik-beradik kandung.

Norlela mengutamakan kebaikan hubungan adik-beradiknya ketika memanjatkan doa kepada ALLAH. — IKHLAS.com

Anak ketiga daripada lima beradik itu menceritakan bahawa hubungan sesama saudara kandungnya menjadi renggang atas sebab-sebab tertentu termasuk dalam soal harta dan hal pasangan masing-masing.

“Masa arwah ayah masih hidup, hubungan kami semua baik saja. Yelah, mungkin sebab semua takut.

“Tapi bila dia dah tiada. Lain jadinya sampai ada yang ‘lost contact’.

“Mak pula ada kemurungan, anxiety tapi ada adik beradik yang tak mahu jaga, sedangkan kami semua duduk dekat saja.

“Mak juga pernah cakap ‘Macam manalah kau orang ni lima beradik. Lepas ayah tak ada, jadi macam ni. Mak, kalau boleh, sebelum mak ni pergi tutup mata, nak tengok adik-beradik ni bersatu balik’,” kongsi wanita berusia 49 tahun itu.

Atas pesanan ibunya yang berusia 75 tahun itu, Norlela mengetepikan isu lama yang dihadapi bersama adik-beradiknya dan berharap doanya di depan Kaabah diterima ALLAH supaya hubungan mereka berlima kembali utuh.

“Keluarga. Itu paling utama. Saya mahu kami lima beradik saling memaafkan dan pulihkan hubungannya,” luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram