“SESUNGGUHNYA engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi ALLAH jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut undang-undang peraturan-NYA); dan DIA-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
Ayat ke-56 Surah al-Qasas di atas ini sudah menceritakan bagaimana hidayah atau petunjuk itu adalah milik mutlak ALLAH, bahkan Nabi Muhammad SAW juga tidak mempunyai kuasa ke atasnya.
Hidayah ALLAH boleh hadir melalui pelbagai cara, sama ada fizikal dan rohani, tapi pastinya dengan satu tujuan jelas iaitu berubah ke arah kebaikan bagi mencapai keberkatan dunia serta akhirat.
BACA LAGI: Mohon kesembuhan kanser payudara, mahu jadi pembayar zakat antara doa jemaah asnaf depan Kaabah
Hidayah ini juga bukan saja untuk orang bukan Muslim, malah orang Islam sendiri perlu rajin menadah tangan memanjatkan doa agar sentiasa diberikan petunjuk dalam mengharungi kehidupan di dunia yang penuh dugaan.
Siapa sangka, seperti diceritakan sendiri Zainon Rohaya Mohd Zin saat dirinya diberikan petunjuk untuk mengubah hidupnya ke arah lebih baik semasa menunaikan umrah baru-baru ini.
Zainon merupakan antara 15 jemaah asnaf yang diberi peluang menikmati perjalanan indah menunaikan umrah di bawah Program Asnaf 1,000 Umrah tajaan IKHLAS.com.
Sebagai wanita tunggal yang membesarkan dua orang anak perempuan, Zainon tidak kisah berkongsi cerita kepayahannya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Kenangan yang diabadikan Zainon dan dua anak perempuannya bersama mutawwif IKHLAS.com, Ustaz Salman Al Farisy dan Ustaz Muhammad Faiz Manggar.
Setelah kehilangan suami, wanita kelahiran Ipoh, Perak ini mengerah kudrat untuk berniaga kecil-kecilan termasuk menjual kacang di sekitar Gombak, Selangor.
Malah dengan bantuan tunai RM500 sebulan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zainon berasa lega untuk meneruskan kehidupan seorang diri selepas kedua-dua anak kembarnya berkahwin dan tinggal berasingan.
“Sebenarnya, saya pun tak tahu saya termasuk dalam golongan asnaf. Tapi hanya dimaklumkan MAIWP sebab suami saya dulu ada terima bantuan RM500.
“Jadi disebabkan dia meninggal dunia, saya maklum kepada MAIWP supaya hentikan bantuan tunai itu.
“Tapi selepas disemak MAIWP tentang status saya tinggal seorang diri dan tiada anak lelaki, mereka suruh sambung di bawah nama saya.
“Memang boleh saya harapkan dua-dua anak perempuan, tapi mereka juga ada keluarga sendiri yang perlu mereka jaga.

Dua anak perempuan Zainon ibarat tulang belakang buat dirinya selepas bergelar ibu tunggal. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com
“Jadi dengan bantuan RM500, saya juga sambil-sambil jual kacang tambah pendapatan di kelas-kelas agama dan warga emas,” kata wanita berusia 70 tahun itu.
Disebabkan statusnya itu, Zainon dianggap bertuah kerana lebih kurang sebulan selepas mengisi borang asnaf tersebut, namanya tercalon untuk menunaikan umrah bersama IKHLAS.com.
Pada awalnya tawaran itu disyaki scammer, tetapi Zainon tidak menyangka tawaran menunaikan umrah itu adalah sahih selepas diperiksa oleh anaknya.
“Alhamdulillah,seronoknya kita. ALLAH dah buka pintu menerima kita sebagai tetamu-NYA.
“Kita kan banyak dosa. Umur dah 70 tahun kan. Banyaklah kita mengaku kelemahan kita dekat mana.
“Bila tahu dapat tajaan pergi umrah, masya-ALLAH seronoknya,” katanya.

Sebahagian jemaah yang dibawa IKHLAS.com melakukan tawaf ketika menunaikan umrah baru-baru ini.
Zainon bersama 15 jemaah asnaf itu menunaikan umrah pada 11 hingga 18 November lalu, menyertai lebih 80 jemaah lain yang mengambil pakej di bawah IKHLAS.com.
Mengimbau semula detik-detik menunaikan umrah itu, nada Zainon mula berubah menjadi sebak apabila mengenangkan saat-saat dirinya seolah-olah diberikan petunjuk.
Dengan keadaan dirinya yang kurang sihat, Zainon berkata, dia berharap sangat perjalanan umrahnya lancar terutamanya ketika membuat tawaf.
“Saat sampai Madinah, memang menitik air mata terkenang perjuangan Nabi dan para sahabat.
“Kemudian di Makkah, sekali lagi air mata saya mengalir sebab pada awalnya rasa tak mampu nak buat tawaf dalam keadaan kaki yang sakit.
“Ketika itulah, saya berdoa bersungguh-sungguh kepada ALLAH supaya cabutkan rasa sakit ini agar saya dapat buat umrah dengan sempurna. Aku sebagai tetamu-MU ya ALLAH, peliharalah aku. Itu saja,” kata Zainon.
Dengan kekuatan yang bersisa dan dibantu oleh dua anaknya serta mutawwif IKHLAS.com, Zainon meneruskan perjalanan ibadah umrahnya untuk disempurnakan sebaik mungkin.

Zainon (dua dari kanan) dibantu Ustaz Muhammad Faiz Manggar ketika bertawat. — Ustaz Jawwad/IKHLAS.com
Malah ketika bertawaf, Zainon terus menitipkan doa kepada ALLAH dan merasanya seperti doanya diterima dan ketika itu dia terus melontarkan janji.
“Ya ALLAH, KAU terima aku punya rayuan. Kali ini aku berjanji aku takkan lewatkan sembahyang.
“Aku takkan menipu. Aku takkan buat apa yang KAU tak suka. KAU bukakanlah pintu hati aku.
“Cabutlah titik-titik hitam di hati aku ini. Ya ALLAH, aku banyak berbuat jahat, banyak berdosa kepada-MU, ya ALLAH.
“Itulah janjiku. Insya-ALLAH, jika ada umur panjang, ada rezeki, aku nak lagi datang ke sini,” ujar Zainon, sebak.
Lebih menguatkan perasaannya bahawa doanya diterima ALLAH, Zainon menceritakan detik cemas dia hampir terjatuh ketika bertawaf.
“Ada satu ketika, keadaan semakin sesak apabila jemaah lain mula bertolak-tolak dan saya hampir terjatuh tetapi saya rasa sekali imbas ada orang tarik saya semula.
“Saya tak tahu siapa sebab jadi sekelip mata saja. Itu yang buat saya yakin ALLAH bantu kita.
“Jadi sebab itu saya mahu tunaikan janji-janji macam cepatkan solat, buat tahajud walaupun sebelum ini tak pernah buat sebab mengantuk,” katanya.
Memang benar seperti dikata, hidayah ALLAH itu mahal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
