KEBIASAANNYA, majlis graduasi tadika hanya dihiasi dengan gambar statik sebagai latar belakang (backdrop) pentas.
Namun kali ini, sebuah tadika islamik tampil dengan pendekatan berbeza apabila menggabungkan visual kecerdasan buatan (AI) dalam bentuk video yang memaparkan impian kerjaya anak-anak sebagai backdrop majlis graduasi mereka.
Menerusi video yang dikongsikan oleh pihak tadika berkenaan di Facebook mereka, kelihatan para pelajar berusia enam tahun melangkah ke atas pentas untuk menerima sijil graduasi masing-masing dengan latar visual AI bergerak yang menampilkan cita-cita kerjaya mereka pada masa hadapan.
BACA LAGI: Rumah sewa sederet, ada ladang tapi tak pernah berkira, cucu kagum kebaikan arwah nenek tiri
Antara impian yang dipaparkan termasuk kerjaya sebagai anggota bomba, doktor, angkasawan dan lain-lain, sekali gus memberi gambaran awal aspirasi anak-anak sejak usia muda serta menyuntik motivasi dan keyakinan diri kepada mereka.
Tadika berkenaan turut menyertakan kapsyen 'Inspired by the future', selain merakamkan penghargaan kepada pasukan media yang menjayakan konsep tersebut serta mengucapkan tahniah kepada semua pelajar berusia enam tahun yang menamatkan sesi persekolahan.
Pendekatan kreatif itu bukan sahaja mencipta suasana graduasi yang lebih bermakna, malah turut menyentuh perasaan ibu bapa yang hadir dan menyaksikan sendiri impian anak-anak divisualkan di hadapan khalayak.
Ruangan komen video tersebut turut dipenuhi dengan reaksi positif warga maya yang memuji penggunaan AI secara berhemah dan berimpak positif dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak.
Seorang pengguna media sosial, Jue Jue, menyifatkan idea berkenaan sebagai contoh terbaik penggunaan teknologi masa kini.
"Ini barulah cara guna AI yang betul. Pendekatan seperti ini boleh buatkan anak-anak lebih bersemangat. Memang terbaik," katanya.
Anne Ahmad pula mengakui konsep itu mampu mengundang emosi ibu bapa.
"Kalau anak saya belajar di situ dan melihat momen ini secara langsung, memang boleh buat sebak.
"Sebagai ibu bapa, impian kita hanyalah mahu melihat anak-anak membesar dengan baik dan berjaya dalam bidang yang mereka minati," ujarnya.
Sementara itu, N Arriety NK berpandangan generasi hari ini lebih beruntung kerana teknologi mampu merealisasikan impian kanak-kanak dalam bentuk visual.
"Tahniah kepada anak-anak, semoga menjadi generasi yang berjaya. Zaman sekarang memang beruntung ada AI yang boleh gambarkan cita-cita mereka.
"Zaman dulu, nak lukis impian sendiri pun tak tahu rupanya macam mana," katanya berseloroh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
