KEPUTUSAN seorang wanita menolak untuk menderma sebahagian hati kepada suami akhirnya membawa perkahwinan mereka ke mahkamah.
Kes yang berlaku di Korea Selatan itu mengundang perdebatan hangat di media sosial mengenai batas pengorbanan dalam perkahwinan.
Perkahwinan dibina selama tiga tahun itu diuji hebat apabila suami berusia awal 30-an, disahkan menghidap primary biliary cirrhosis, sejenis penyakit hati yang jarang berlaku.
BACA LAGI: 'Childhood' trauma boleh merosakkan hubungan, Ustazah Nazirah kongsi cara rawat jiwa
Doktor memberi amaran bahawa tanpa pemindahan hati, jangka hayatnya mungkin tidak melebihi setahun.
Ketika itu, pasangan berkenaan sedang membesarkan dua anak perempuan, seorang berusia dua tahun dan bayi baru sebulan dilahirkan.

Tekanan daripada keluarga mentua menjadi antara faktor yang memburukkan keadaan apabila keputusan menolak pendermaan organ dipertikaikan.
Dalam usaha menyelamatkan nyawanya, ibu bapa lelaki tersebut sanggup menjual rumah bagi menampung kos rawatan.
Sepanjang tempoh kritikal itu, isterinya setia berada di sisi, menjaga, mengurus keperluan harian dan memastikan rawatan berjalan lancar.
Harapan baharu muncul apabila ujian perubatan mendapati isterinya mempunyai tahap keserasian HLA (Human Leukocyte Antigen) melebihi 95 peratus sehingga menjadikannya sebagai calon penderma hati yang hampir sempurna.
Namun, keputusan wanita itu untuk menolak pembedahan mengubah segalanya.
Beliau memaklumkan kepada pihak hospital dan keluarga mentua bahawa dirinya mengalami ketakutan melampau terhadap jarum dan objek tajam, sekali gus tidak mampu menjalani pembedahan.
Penolakan itu mencetuskan konflik, apabila suami berasa dikhianati dan mula mempersendakan usaha isteri menjaganya.
Kata-kata kesat turut dilontarkan, termasuk tuduhan bahawa isterinya sengaja mahu melihatnya mati.

Nasib menyebelahi lelaki berkenaan apabila penderma daripada individu yang disahkan mati otak ditemui pada saat akhir.
Tekanan semakin memuncak apabila ibu bapa mentua turut mendesaknya, mempersoalkan sama ada beliau sanggup menyaksikan kematian suami sendiri.
Nasib menyebelahi lelaki berkenaan apabila penderma daripada individu yang disahkan mati otak ditemui pada saat akhir.
Pembedahan pemindahan hati berjaya dilakukan dan keadaannya beransur pulih. Namun, episod itu tidak berakhir di situ.
Selepas pulih, suami menyiasat alasan isteri dan mendapati wanita itu pernah menjalani pembedahan apendiks dan beberapa ujian darah sebelum ini tanpa sebarang masalah.
Ditekan dengan persoalan tersebut, isteri akhirnya mengakui ketakutan terhadap jarum hanyalah alasan.
Hakikatnya, beliau bimbang akan risiko pembedahan dan takut sekiranya sesuatu berlaku kepadanya sehingga dua anak mereka terpaksa membesar tanpa ibu.
Menganggap tindakan itu sebagai penipuan dan pengabaian ketika dirinya berada di ambang kematian, si suami memfailkan perceraian dan menyaman atas dakwaan gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pasangan.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan bahawa pendermaan organ adalah hak mutlak individu dan tidak boleh dipaksa, walaupun dalam ikatan perkahwinan.
Hakim turut menegaskan bahawa unsur paksaan dan penderaan verbal oleh si suami telah meruntuhkan asas kepercayaan dalam rumah tangga, menjadikannya pihak yang lebih bertanggungjawab terhadap keruntuhan perkahwinan tersebut.
Kebimbangan isteri terhadap keselamatan diri dan masa depan dua anak kecil mereka turut dianggap munasabah oleh mahkamah.
Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai. Hak penjagaan anak diberikan kepada isteri, namun dia tetap meneruskan sokongan kewangan bagi membantu proses pemulihan perubatan bekas suaminya.
Laporan oleh Seoul Broadcasting System (SBS) itu mencetuskan reaksi meluas di media sosial China.
Ramai warga maya tampil mempertahankan keputusan wanita tersebut, sambil mempersoalkan tuntutan pengorbanan melampau dalam perkahwinan.
“Berkahwin tidak bermakna tubuh badan boleh dituntut sesuka hati,” tulis seorang pengguna.
“Pembedahan berisiko tinggi, anak-anak masih kecil.. kebimbangannya masuk akal,” komen seorang lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
