[VIDEO] Diuji leukemia 3 tahun lepas, bekas atlet hoki bersyukur sekali lagi terpanggil ke Tanah Suci berkat jaga ibu


  • Podium
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Noridah menganggap rezeki kali ke dua ke umrah adalah ganjaran atas pengorbanannya menjaga ibu.

 

 

PENGORBANAN menjaga ibu bukanlah tugas yang mudah, namun bagi sesetengah insan rezeki dapat berbakti terhadap orang tua sebenarnya boleh menjadi jalan kepada keberkatan hidup.

Begitulah apabila pengorbanan seorang anak menjaga ibu akhirnya menjadi asbab rezeki untuk menjejakkan kaki ke Kota Suci Makkah memenuhi panggilan Ilahi yang hanya diundang kepada mereka yang benar-benar terpilih.

Bekas pemain hoki kebangsaan, Noridah Omar, 59, yang sekali lagi berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah menganggap ia adalah ganjaran atas pengorbanannya menjaga ibu iaitu Aminah Ahmaddan, 80, dan adik-adik sejak muda.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Saya cukup faham kerusi roda ibarat kaki bagi orang seperti kami’, bekas atlet para negara sebak dijemput jadi tetamu ALLAH

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya hilang sekejap pun anak menangis', diuji gaji sangkut 2 tahun, bekas bintang futsal kebangsaan dapat rezeki pijak Tanah Suci

"Alhamdulillah. Rancangan ALLAH kan (sebab jaga ibu diberi rezeki umrah). Kita tak tahu tetapi apabila orang selalu tanya. Maksud akak bercerai pun muda kan, orang tanya tak nak kahwin ke.

"Ya ALLAH. Bukan senang nak kahwin lagi sebab ada mak lagi kena jaga. Adik-adik yang masih sekolah lagi nak jaga kan. Kalau ALLAH nak bagi kita Alhamdulillah. Tak ada pun Alhamdulillah.

"Memang sampai dulu sampai sekarang Alhamdulillah akak dah reda memang inilah rezeki akak. Ada artikel pasal rezeki bila kita dapat jaga orang tua," katanya kepada Majoriti.

Noridah, yang ditemui di kediamannya di Shah Alam, Selangor antara lima bekas atlet menerima tajaan program umrah Jejak Asnaf anjuran bersama Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Majoriti.

Noridah ketika bersama wakil pihak ikhlas.com, YAKEB dan Majoriti.

Selain diuji kehilangan Noridah yang pernah mewakili skuad hoki wanita negara dan meraih pingat emas Sukan SEA 1987 dan 1989, kini tidak lagi bekerja selepas disahkan menghidap leukemia tiga tahun lalu.

Namun, ujian berat itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada ibunya yang semakin uzur lagi-lagi selepas Noridah kehilangan ayah pada usia 23 tahun.

"Saya kehilangan ayah masa rumah akak 23 tahun. Masa tu arwah tengah tidur, arwah ayah meninggal dan tidur. Semasa tiga tahun itu, akak tak nafikan hubungan dengan ALLAH agak jauh.

"Sampai satu hari tu ALLAH ketuk pintu. Yang ketuk pintu melalui orang yang bukan Islam. Dia (bekas kapten hoki skuad kebangsaan) cakap tidak kasihankan arwah bapa ke, jadi kena sembahyang. Saya terus menangis," luahnya.

 

 

Kini, selepas diberi peluang untuk menunaikan umrah buat kali kedua, Noridah hanya menyimpan satu hasrat iaitu untuk menunaikan haji agar lengkap lima rukun Islam dalam hidupnya.

"Saya cuma nak sempurnakan rukun Islam yang kelima. Lepas itu, kalau ALLAH nak ambil saya atau mak, saya reda. Itu saja doa saya di Tanah Suci nanti," katanya dalam nada tenang namun penuh makna.

Bagi Noridah, panggilan ke Tanah Suci bukan sekadar perjalanan ibadah, tetapi tanda kasih ALLAH terhadap hamba yang sabar dan ikhlas berbakti, meskipun pernah melalui fasa gelap dalam hidup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram