
PENDAKWAH bebas, Ustazah Asma’ Harun menegaskan bahawa pemakaian tudung bukan sekadar pilihan peribadi, sebaliknya ia adalah kewajipan yang jelas disebut dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Menurutnya, isu ini tidak boleh dianggap remeh kerana melibatkan perkara asas dalam agama.
Menurutya dalam satu perkongsian di Instagram beliau, isu tersebut tidak boleh dianggap remeh berikutan ia melibatkan perkara asas dalam Islam.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan seorang artis lelaki yang menyokong tindakan bekas isterinya membuka tudung dengan alasan 'bertudung adalah pilihan masing-masing'.
"Bertudung bukan pilihan. Memang benar manusia boleh memilih sama ada mahu taat atau tidak, tetapi menyebut ia sebagai pilihan adalah salah.
"Hakikatnya, menutup aurat itu kewajipan yang jelas," katanya dalam hantaran video yang dimuat naik pada Khamis.
Jelas beliau lagi, perintah menutup aurat disebut dalam Surah An-Nur ayat 31 yang memerintahkan wanita melabuhkan tudung hingga menutup dada.
Ulama juga bersepakat bahawa rambut, leher dan dada wanita termasuk dalam aurat yang wajib dilindungi.
"Apabila hukum wajib disebut pilihan, ia membuka ruang untuk orang meremehkan perintah ALLAH," tambahnya.
Beliau turut memberi contoh bagaimana kenyataan yang salah boleh memberi kesan langsung kepada keluarga dan masyarakat.
Situasi tersebut sudah banyak berlaku apabila ada anak-anak yang menggunakan alasan 'tudung itu pilihan' untuk menolak nasihat ibu bapa agar menutup aurat.
Katanya, keadaan sedemikian membimbangkan kerana ia menunjukkan bagaimana kenyataan yang dinormalisasi boleh meresap masuk ke dalam rumah tangga lalu menjejaskan kefahaman agama generasi muda.
"Inilah kesan apabila perkataan salah dinormalisasi. Ia menjejaskan didikan dalam rumah tangga dan akhirnya merosakkan kefahaman agama dalam masyarakat," ujarnya.
Beliau juga menolak hujah bahawa ayat al-Quran 'tiada paksaan dalam agama' boleh dijadikan alasan untuk tidak bertudung.
Katanya, ayat itu merujuk kepada bukan Muslim yang diberi kebebasan memilih agama. Bagi umat Islam, kewajipan agama tetap wajib tanpa pengecualian.
"Jika seseorang memilih untuk tidak bertudung, memang benar kita tidak boleh memaksanya. Tetapi jangan sesekali kata ia hak peribadi atau pilihan. Itu bercanggah dengan hukum Islam. Yang wajib tetap wajib," tegasnya lagi.
Ustazah Asma’ dalam penjelasannya turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan hukum agama, terutama jika mempunyai pengaruh dalam masyarakat.
Katanya, sebarang kenyataan salah boleh menimbulkan kekeliruan, malah mendorong lebih ramai umat Islam untuk memandang ringan perkara asas dalam agama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram