Jihad wanita: 5 peluang besar raih pahala walau tidak sertai misi kemanusiaan


  • Mukmin
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Mendidik dan membesarkan anak-anak juga antara jihad boleh dilakukan wanita untuk merebut ganjaran pahala. — Gambar hiasan/Canva

APABILA kita mendengar perkataan jihad, kebanyakan yang terlintas dalam fikiran adalah perjuangan di medan perang atau penglibatan dalam misi kemanusiaan di negara bergolak.

Wanita sering merasakan diri mereka jauh daripada ruang ini, sama ada kerana kekangan kewangan, tanggungjawab keluarga atau keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Namun begitu, hakikatnya Islam tidak pernah menyempitkan makna jihad kepada peperangan semata-mata.

BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki

BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri

Pakar agama menegaskan bahawa pintu pahala jihad terbuka luas dalam kehidupan seharian, khususnya bagi kaum wanita.

Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, jihad dalam Islam sangat luas pengertiannya.

“Jihad bagi wanita tidak semestinya bermakna perlu ke medan bergolak atau meninggalkan keluarga untuk menyertai misi kemanusiaan.

"Apa lebih utama adalah mereka memahami bahawa jihad itu merangkumi usaha menegakkan agama, menjaga maruah diri, mendidik anak-anak dan memberi manfaat kepada masyarakat.

"Bahkan Rasulullah SAW menyebut bahawa jihad utama bagi wanita adalah pada kesabaran dan pengorbanan dalam ruang kehidupan mereka,” jelasnya kepada Majoriti.

Mukmin minggu ini berkongsi 5 bentuk jihad boleh dilakukan oleh wanita di tanah air tanpa perlu menunggu peluang ke luar negara:

1. Mendidik, membesarkan anak dengan iman

Firman ALLAH SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim: Ayat 6)

Menurut Ustazah Rohamiah, membesarkan anak-anak bukan sekadar menyediakan makan minum dan pakaian, tetapi memastikan mereka diasuh dengan iman, akhlak dan ilmu yang betul.

"Tugas ini adalah jihad yang besar kerana hasilnya mampu membentuk generasi yang menjadi aset kepada agama.

"Malah, Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menegaskan bahawa hati anak kecil umpama tanah kosong yang boleh ditanam dengan apa sahaja benih.

"Jika benih kebaikan ditanam, ia akan membuahkan pahala yang berpanjangan kepada ibu bapa.

"Justeru, seorang wanita yang sabar mendidik anak-anak, meskipun dalam kepenatan mengurus rumah tangga, sebenarnya sedang berjihad di jalan ALLAH SWT," tegas beliau.

Ustazah Rohamiah (gambar kecil) berkata, wanita tidak perlu berkecil hati jika tidak berpeluang sertai misi kemanusiaan kerana setiap orang diberi ruang berjihad sesuai dengan keadaan masing-masing.

2. Menjaga aurat, maruah diri

Tambah Ustazah Rohamiah, di tengah arus dunia moden masa kini, menjaga aurat dan maruah diri menjadi jihad tersendiri buat golongan wanita.

Ini berdasarkan firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’: Ayat 32)

Rasulullah SAW bersabda:

“Wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar (tanpa sebab syar‘i), syaitan akan menghiasinya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

"Oleh yang demikian, berpegang teguh kepada ajaran agama dalam berpakaian, pergaulan dan menjaga maruah adalah jihad harian yang tidak mudah.

"Wanita yang istiqamah dalam hal ini sebenarnya bukan sahaja memelihara diri, tetapi juga menjaga masyarakat daripada keruntuhan moral di akhir zaman," jelasnya lagi.

3. Menyantuni ibu bapa, keluarga

Rasulullah SAW pernah ditanya: “Apakah amalan yang paling disukai ALLAH?” Baginda SAW menjawab: “Solat pada waktunya.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda SAW bersabda: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengulas lanjut, Ustazah Rohamiah memberitahu, berbakti kepada ibu bapa, membantu suami serta mengurus rumah tangga dengan ikhlas adalah jihad yang sangat besar bagi wanita.

"Ia menuntut pengorbanan masa, tenaga dan emosi buat mereka. Walaupun tugas itu mungkin dipandang remeh, tetapi hakikatnya tugas itu bernilai tinggi di sisi ALLAH SWT.

"Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa ketaatan kepada ibu bapa adalah seagung-agung amal selepas solat, menunjukkan betapa besar kedudukannya untuk direbut dan menjadi ruang pahala buat kita," ungkapnya.

4. Menyumbang tenaga, harta di tempat sendiri

Menurut Ustazah Rohamiah lagi, dalam berjuang, seseorang wanita tidak perlu menunggu peluang ke luar negara untuk membantu orang lain.

"Sebaliknya, mereka juga boleh menyumbang dalam bentuk kerja sukarela, membantu mangsa bencana di tanah air, menyantuni anak yatim atau sekadar menderma seikhlas mungkin.

"Amalan kecil sekali pun seperti bersedekah makanan atau menyantuni anak-anak dan suami, boleh menjadi jihad di sisi ALLAH. Apa yang penting adalah keikhlasan," katanya.

Firman Allah SWT:

“Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 261)

5. Menuntut ilmu, menyebarkannya

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka ALLAH akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Tegas Ustazah Rohamiah, menuntut ilmu bukan sahaja tanggungjawab lelaki, tetapi juga wanita.

"Dengan ilmu, seorang wanita boleh mendidik anak-anak, menyampaikan pengajaran kepada rakan-rakan dan memperbaiki masyarakat di sekeliling mereka.

"Imam al-Syafie pernah menyatakan bahawa menuntut ilmu lebih utama daripada solat sunat kerana ilmu menjadi asas kepada segala amal.

"Wanita yang tekun belajar dan berkongsi ilmu termasuk di media sosial, sebenarnya sedang berjihad dengan pena dan lisan," tambahnya.

Justeru, Ustazah Rohamiah menegaskan bahawa wanita tidak perlu berasa kecil hati jika tidak berpeluang menyertai misi kemanusiaan antarabangsa.

“ALLAH SWT Maha Adil. Setiap orang diberi ruang berjihad sesuai dengan keadaan dan tanggungjawabnya.

"Apa yang penting ialah melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana ALLAH dan pahala jihad itu tetap terbuka luas,” ujarnya.

Elak fitnah

Bagaimanapun, menurut Ustazah Rohamiah lagi, bagi wanita yang mengikuti misi kemanusiaan pula, mereka harus menjaga diri dan kehormatan sebagai seorang Muslimah agar tidak menjadi fitnah kepada khalayak.

"Wanita yang ingin menyertai misi kemanusian perlu mengambil kira banyak faktor antaranya faktor fizikal, emosi dan spiritual. Ini kerana kekuatan fizikal dan emosi wanita tidak setanding dengan kekuatan yang ada pada lelaki.

"Jika seseorang wanita ingin juga menyertai misi tersebut, mereka mesti ditemani oleh muhrim lelaki kerana bimbang sesuatu perkara buruk yang berlaku kepada wanita tersebut.

"Cabarannya memang besar dan jalan dakwah hakikatnya tidak mudah. Berdoalah semoga ALLAH memberi petunjuk dan bantuan dalam perjuangan kita meraih redha-NYA," pesan beliau penuh hikmah.

Jelaslah bahawa jihad wanita bukan hanya di medan perang atau misi kemanusiaan di dalam atau luar negara, tetapi ia bermula dari rumah, keluarga dan masyarakat sekeliling.

"Peluang pahala itu sentiasa terbentang luas kerana jalan menuju ALLAH juga sangat banyak.

"Jadi, tepuk dada tanyalah iman. Rebutlah ruang-ruang menambah pahala dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan," ungkapnya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram