Anak muda depresi bukan tanda lemah, isyarat terlalu lama ‘berjuang', amal zikir, solat tahajud


  • Mukmin
  • Ahad, 27 Jul 2025

Remaja Muslim hari ini sedang melalui fasa penting dalam pembentukan identiti diri, namun cabaran zaman moden mereka sering kali terperangkap dalam rasa rendah diri. — Gambar hiasan/Freepik

DALAM dunia yang serba canggih dan penuh kemudahan hari ini, kita menyangka bahawa kehidupan generasi muda lebih selesa dan kurang terbeban.

Namun, realitinya sangat berbeza. Di sebalik senyuman dan penampilan yang nampak sempurna di media sosial, ramai anak muda sebenarnya bergelut dalam diam dengan tekanan emosi, kekosongan jiwa dan kemurungan semakin membelenggu diri.

Malah, statistik kesihatan mental dalam kalangan anak muda terus mencatatkan peningkatan membimbangkan.

BACA LAGI: Jangan tertipu dakyah ‘healing’ menyimpang, Islam sudah cukup sempurna tenangkan jiwa yang galau

BACA LAGI: Bukan setakat doa, empati, keluarga terdekat jangan abai amanah faraid, guru main peranan bantu anak yatim piatu kembali bangkit

Menurut Laporan Kesihatan Mental Remaja 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, hampir 1 daripada 3 remaja berusia 13 hingga 17 tahun menunjukkan tanda-tanda kemurungan, manakala 40.9 peratus mengalami tahap kebimbangan yang tinggi.

Ia bukan sekadar angka, tetapi cerminan jeritan batin yang sering tersembunyi di sebalik senyum dan gaya hidup yang kelihatan ‘sempurna’.

Pegawai Psikologi dan Ahli Psikologi Klinikal Berdaftar, Unit Psikologi, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Maktab Teknik PDRM Bakri, Saidatul Sariyah berkata, walaupun ramai anak muda hari ini nampak serba cukup, ramai sebenarnya berdepan kekosongan emosi.

“Perkara ini berlaku disebabkan mereka hidup dalam tekanan untuk memenuhi jangkaan orang lain, kurang sokongan emosi, tidak dilatih mengurus stres dan tiada ruang selamat untuk meluah.

“Kehidupan dibayangi tekanan sosial dan perbandingan diri secara berterusan terutamanya menerusi media sosial, menjadi punca utama keresahan jiwa," ujar Saidatul ketika dihubungi Majoriti.

Menurutnya lagi, remaja Muslim hari ini sedang melalui fasa penting dalam pembentukan identiti diri, namun cabaran zaman moden sering kali menjadikan mereka keliru dan terperangkap dalam rasa rendah diri.

“Bagi mereka, perasaan ini kadangkala bercampur dengan rasa bersalah kerana merasakan diri tidak cukup baik sebagai seorang Muslim dan ini boleh menambah tekanan serta meningkatkan risiko kemurungan,” jelasnya.

Tambah Saidatul, dalam menghadapi cabaran tersebut, amalan zikir dan penghayatan agama tidak pernah ketinggalan zaman.

Bahkan, ia merupakan antara bentuk penjagaan diri yang paling dalam maknanya.

“Zikir boleh jadi ruang rehat rohani. Ia menenangkan emosi dan menyambungkan kita dengan ALLAH. Melalui zikir, ia memberi rasa disayangi walaupun dunia seolah-olah tak memahami," ujarnya.

Ia juga sejajar dengan firman ALLAH SWT dalam surah Ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud: "Ketahuilah, hanya dengan mengingati ALLAH, hati akan menjadi tenang."

Saidatul menjelaskan bahawa dalam pendekatan penjagaan diri yang dikenali sebagai ‘SERENE’ iaitu Social (sosial), Educational (pendidikan), Recreational (rekreasi), Entertainment (hiburan) dan Existential (eksistensial), aspek existential atau makna hidup sering dilupakan sedangkan di sinilah agama memainkan peranan utama.

Saran Saidatul (gambar kecil) cari dan dekati sahabat atau kumpulan yang memberi semangat dan tidak menghakimi.

“Ramai anak muda keliru dengan konsep reda, lalu menyangka bahawa menerima takdir bermaksud tidak boleh bersedih atau perlu ‘berpura-pura kuat’.

“Sedangkan dalam psikospiritual Islam, reda adalah bentuk penerimaan yang tenang terhadap ujian ALLAH tanpa memadamkan rasa duka sebagai manusia.

“Reda bukan bermakna kita tidak boleh sedih, tetapi ia bermaksud kita tidak memberontak terhadap takdir dan belajar menyandarkan harapan kepada ALLAH,” jelas beliau merujuk kepada tahap penerimaan dalam teori 5 Grief Stages oleh Elisabeth Kübler-Ross.

Hal ini juga bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman! Sesungguhnya segala urusannya adalah baik baginya. Jika dia ditimpa kesenangan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar dan itu juga baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mengulas lanjut, Saidatul memberitahu, antara bentuk sokongan terbaik buat anak muda yang mula menunjukkan tanda kemurungan adalah dengan mencipta ‘ruang selamat’ untuk meluah.

“Kadang-kadang, seorang sahabat yang sudi mendengar pun sudah cukup membantu,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan pendekatan seperti journaling, program kesedaran kesihatan mental serta kelompok bimbingan sebagai langkah awal untuk membina keyakinan mendapatkan bantuan.

Kepada masyarakat umum, Saidatul berpesan: “Depresi bukan tanda lemah. Ia adalah isyarat bahawa seseorang itu telah ‘berjuang terlalu lama dalam diam’. Isu kesihatan mental seperti depresi ini juga perlu dipandang seperti sakit fizikal. Ia perlu dirawat.”

Apa yang pasti, dalam suasana dunia yang makin mencabar, anak muda memerlukan bukan sahaja sokongan psikologi tetapi juga sandaran spiritual yang kukuh.

“Zikir, doa dan pemahaman yang betul terhadap konsep reda serta kasih sayang ILAHI adalah benteng jiwa yang ampuh.

“Sebagai ahli masyarakat, kita jangan terlalu cepat menghakimi. Sebaliknya, hulurkan tangan, buka telinga dan kongsikan cahaya harapan kerana setiap jiwa berhak untuk diselamatkan,” ungkap Saidatul penuh makna.

Tip penjagaan emosi, jiwa remaja Muslim:

1. Amalkan zikir harian

- Luang 5–10 minit selepas solat untuk berzikir dan berdoa dengan hati yang hadir.

2. Tulis jurnal emosi

- Catat perasaan, doa atau apa yang membebankan hati. Ia membantu mengurus emosi dengan lebih sihat.

3. Hadkan masa media sosial

- Gunakan masa untuk aktiviti yang membina seperti membaca al-Quran, bersukan atau belajar kemahiran baru.

4. Cari circle positif

- Dekati sahabat atau kumpulan yang memberi semangat dan tidak menghakimi.

5. Bercakap dengan orang dipercayai

- Sama ada ibu bapa, guru, ustaz/ustazah, kaunselor atau rakan, jangan pendam terlalu lama.

6. Ingat sedih bukan dosa

- Nabi Muhammad SAW juga bersedih, tetapi Baginda tidak pernah berputus daripada rahmat ALLAH.

7. Solat tahajud atau hajat secara berkala

- Ini adalah bentuk terapi rohani yang amat mendalam dan mampu menguatkan hati yang rapuh. — MAJORITI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram