
TIDAK semua manusia hadir ke dunia hanya untuk sekadar hidup, ada juga yang ALLAH SWT pilih untuk ‘memberi kehidupan’ kepada orang lain.
Itulah kisah menyentuh hati Allahyarhamah Darna Tajudin, 41, yang kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya di Tawau baru-baru ini, namun cintanya terhadap manusia terus hidup melalui amal bakti yang ditinggalkan.
Walaupun jasadnya telah kaku, hasrat murni Allahyarhamah tetap tertunai.
BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki
BACA LAGI: Anak muda depresi bukan tanda lemah, isyarat terlalu lama ‘berjuang', amal zikir, solat tahajud
Beliau pernah menyuarakan keinginannya untuk menjadi penderma organ dan impian itu akhirnya menjadi kenyataan apabila kornea matanya disumbangkan demi memberi sinar baharu kepada insan lain.
Menurut ahli keluarganya, Allahyarhamah dikenali sebagai seorang penderma darah tegar, penyayang dan suka membantu sesiapa sahaja di sekelilingnya.
Ternyata sifat dermawan itu tidak terhenti dengan pemergiannya, malah berlanjutan melalui amalan sedekah jariah yang paling unik iaitu pendermaan organ.
Kisah Darna (gambar kanan) meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Tawau menjentik hati banyak pihak kerana kemuliaan hati arwah mendermakan kornea mata. — Gambar ihsan/Facebook
Portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan menjelaskan, pendermaan organ atau tisu ialah proses seseorang mendermakan sebahagian tubuhnya untuk tujuan pemindahan (transplantasi) kepada pesakit yang mengalami kegagalan atau kerosakan organ.
Antara organ yang boleh didermakan termasuklah jantung, buah pinggang, hati, paru-paru, pankreas serta kornea mata.
Selepas transplantasi, penerima bukan sahaja mampu meneruskan kehidupan, tetapi juga berpeluang meningkatkan kualiti hidup.
Sebagai contoh, seorang pesakit buah pinggang yang sebelum ini perlu menjalani dialisis berulang kali akan dapat hidup dengan lebih sihat selepas menerima organ baharu.
Begitu juga penerima kornea mata akan dapat melihat kembali dunia dengan jelas.
Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek berkata, dalam Islam nyawa adalah amanah yang amat besar nilainya.
Ia berdasarkan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: “... dan sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia.”
Menurut Dr. Siti Rugayah, ayat ini menunjukkan betapa agungnya ganjaran menyelamatkan nyawa manusia, meskipun hanya satu.
"Secara umumnya, semua agama mengiktiraf pendermaan organ sebagai amalan yang mulia. Malah, majoriti ulama di Malaysia berpandangan bahawa pendermaan organ adalah harus, dengan syarat ia dilakukan secara ikhlas, mendapat keizinan penderma atau waris, tidak melibatkan unsur jual beli dan dijalankan oleh pakar perubatan yang amanah.
“Hal ini selari dengan maqasid al-syariah iaitu menjaga nyawa sebagai salah satu daripada lima tujuan utama syariat,” ujar beliau kepada Majoriti.
Tambah Dr. Siti Rugayah, isu pendermaan organ bukan perkara baharu di Malaysia. Ini kerana, Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali pertama pada 23-24 Jun 1970 telah membincangkan hal ini secara serius.
“Hasilnya, jawatankuasa memutuskan bahawa pemindahan organ daripada orang mati kepada orang hidup adalah harus dalam Islam, khususnya apabila nyawa penerima bergantung kepada pemindahan itu.
“Fatwa ini memberi garis panduan jelas bahawa Islam mengiktiraf kepentingan pendermaan organ dalam keadaan tertentu, selagi ia menepati syarak.
"Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana ALLAH SWT,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Siti Rugayah memberitahu, walaupun majoriti ulama mengharuskan, terdapat juga segelintir pandangan yang lebih berhati-hati.
“Mereka berpandangan bahawa tubuh manusia adalah amanah ALLAH yang tidak boleh diganggu selepas kematian.
“Namun, pandangan yang lebih luas melihat kepada hikmah dan tujuan syariah iaitu menyelamatkan nyawa sebagai asas keharusan.
“Inilah sebenarnya keindahan Islam yang memberi ruang ijtihad agar umatnya berfikir dengan penuh kesedaran, bertanya kepada hati dan membuat keputusan berdasarkan panduan Syariah,” tegas beliau lagi.
Tambahnya, pendermaan organ adalah salah satu bentuk sedekah jariah yang sangat istimewa kerana ia memberi manfaat yang berpanjangan walaupun selepas seseorang meninggal dunia.
Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh.” (Hadis Riwayat Muslim)
Maka ujarnya, setiap nafas penerima yang diselamatkan, setiap pandangan mata yang kembali jelas dan setiap detik kehidupan baharu yang dinikmati oleh penerima organ adalah sumber pahala berterusan kepada penderma yang telah kembali ke alam barzakh.
Apa yang pasti, kisah Allahyarhamah Darna Tajudin membuktikan bahawa kematian bukan noktah, sebaliknya boleh menjadi 'pintu' kepada kehidupan baharu bagi orang lain.
Kornea matanya kini menjadi cahaya untuk insan lain, darah yang pernah didermakan telah mengalir ke tubuh mereka yang memerlukan, manakala sifat penyayangnya menjadi memori indah buat keluarga dan masyarakat.
Beliau meninggalkan teladan bahawa hidup bukan hanya tentang diri sendiri, tetapi juga tentang apa yang ditinggalkan untuk orang lain selepas kita pergi.
Kisah ini juga menjadi inspirasi buat umat Islam bahawa pendermaan organ boleh menjadi satu bentuk amal soleh yang agung kerana jumlah pesakit yang memerlukan transplantasi semakin meningkat.
“Tidak semua orang mampu membantu dengan harta, tetapi setiap Muslim boleh berniat untuk menyelamatkan satu nyawa dan itu di sisi ALLAH adalah sebesar menyelamatkan seluruh manusia.
“Semoga amal soleh Allahyarhamah menjadi pahala berterusan dan semoga lebih ramai umat Islam tampil dengan keberanian dan keikhlasan untuk mendaftar sebagai penderma organ dengan niat semata-mata kerana ALLAH,” ungkap Dr. Siti Rugayah.
Fatwa berkaitan pendermaan organ turut menetapkan beberapa syarat penting iaitu:
1. Pemindahan hanya dilakukan dalam keadaan mendesak apabila nyawa penerima bergantung sepenuhnya kepada organ tersebut.
2. Dalam kes jantung, penderma mestilah disahkan meninggal dunia sepenuhnya sebelum organ dipindahkan.
3. Tindakan yang sewajarnya perlu diambil untuk mengelakkan sebarang unsur pembunuhan atau perdagangan organ.
4. Kebenaran perlu diperoleh daripada penderma semasa hidup atau daripada waris terdekat selepas kematian.
*Sumber Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram