
TRAGEDI menyayat hati yang meragut enam nyawa sekeluarga akibat lemas di Sungai Korok, Jitra, Kedah baru-baru ini bukan sekadar peristiwa duka yang berlalu begitu sahaja.
Ia seharusnya menjadi cermin buat kita yang hidup tentang hakikat kematian, kepentingan persiapan akhirat serta tanggungjawab amanah yang tertinggal kepada waris, jiran, guru dan masyarakat sekeliling.
Dalam insiden tersebut, Mohd Azim Izzat Ishak, 32, dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Humaira, 7; dan Tuah Haydar, 6 bulan maut apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai.
BACA LAGI: ‘Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya’, Nurul Hidayah Zahid lawat anak mangsa tragedi Sungai Korok
Bagaimanapun, anak sulung pasangan itu, Putri Qisya Nur Izzat, 12, terselamat kerana berada di rumah neneknya di Jerlun ketika kejadian berlaku.
Doa dan empati dari masyarakat
Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, sebagai Muslim apabila mendengar mengenai kes tragik sebegini, doa dan empati adalah reaksi spontan yang menunjukkan rasa ehsan dan kasih sayang sesama insan.
Menurut beliau, Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk mendoakan mereka yang telah pergi seperti mana hadis yang bermaksud:
“Doakanlah keampunan untuk saudara-saudara kamu dan mohonkanlah keteguhan hati untuk mereka, kerana sesungguhnya mereka sedang ditanya (dalam kubur).” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Bagaimanapun ujarnya, doa dan linangan air mata sahaja tidak cukup, sebaliknya ia perlu disusuli dengan rasa tanggungjawab membantu waris yang ditinggalkan.
Menurut Dr. Muhammad Sufi (gambar kecil) sebagai Muslim apabila mendengar mengenai kes tragik dialami seseorang, doa dan empati adalah reaksi spontan menunjukkan ihsan dan kasih sayang sesama insan. — Gambar hiasan/Canva
“Islam mengajar bahawa kematian seseorang itu mengubah tanggungjawab selama ini berada atas bahu si mati kepada bahu orang yang hidup khususnya ahli waris dan mereka dekat dengannya.
“Justeru, dalam kes adik Putri Qisya yang menjadi sebatang kara akibat kehilangan ahli keluarga secara serentak, ahli keluarga terdekat perlu memainkan peranan membantunya meneruskan kehidupan yang mendatang.
“Ini termasuklah keperluan makan minum, tempat tinggal dan persekolahan yang sangat penting terutama bagi memastikan dia dapat menjalani hidup dengan sempurna meskipun kehilangan kedua ibu bapa dan adik-beradik,” kata Dr. Muhammad Sufi kepada Majoriti.
Tanggungjawab keluarga terdekat: Jangan abai amanah faraid
Sementara itu, Setiausaha Kerja Pertubuhan Du’ah Faraid Malaysia, Ustaz Hamka Idris berkata, dalam Islam harta pusaka bukanlah milik sesiapa secara automatik, sebaliknya ia tertakluk kepada sistem faraid iaitu agihan harta mengikut ketetapan Allah SWT.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah An-Nisa, ayat 11 hingga 14 yang menerangkan tentang pembahagian harta pusaka ini.
“Dalam ayat ini, ALLAH telah menetapkan bahagian harta pusaka secara adil. Anak lelaki mendapat dua bahagian berbanding anak perempuan. Jika hanya ada anak perempuan, seorang mendapat separuh, manakala dua orang atau lebih mendapat dua pertiga.
“Ibu dan bapa si mati juga mendapat bahagian tertentu bergantung kepada sama ada si mati mempunyai anak atau tidak. Suami mendapat separuh jika isteri tiada anak atau satu per empat jika ada anak; manakala isteri mendapat satu per empat jika suami tiada anak, atau satu per lapan jika ada anak.
“Pembahagian ini dibuat selepas menyelesaikan hutang dan wasiat. Ayat 13 dan 14 menegaskan bahawa ini adalah ketetapan ALLAH, dan sesiapa yang mentaatinya akan mendapat syurga, manakala yang melanggarnya akan menerima azab yang pedih,” jelas Ustaz Hamka.
Jelas Ustaz Hamka (gambar kecil) jika ada kanak-kanak menjadi yatim selepas kematian ibu bapa, maka ahli keluarga terdekat seperti nenek, bapa atau ibu saudara wajib memegang tanggungjawab menjaga mereka. — Gambar hiasan/Canva
Tambah beliau, jika si mati meninggalkan anak-anak kecil yang masih belum baligh, maka harta mereka perlu dijaga dan dilindungi.
“Harta itu tidak boleh sesuka hati dibelanjakan, apatah lagi diceroboh atau digadai tanpa hak.
“Contohnya, jika arwah ada simpanan wang atau tanah, maka waris yang sah perlu segera memfailkan tuntutan pusaka melalui Pejabat Pusaka Kecil.
“Selain itu, akaun bank si mati tidak boleh ‘ditinggalkan begitu saja’ atau diambil oleh mana-mana waris tanpa prosedur yang sah. Harta tersebut perlu diurus dengan amanah sehingga anak-anak waris cukup umur (baligh dan berakal) untuk menerima bahagiannya,” jelas beliau lagi.
Ustaz Hamka turut mengingatkan tentang amaran keras daripada ALLAH terhadap mereka yang memakan harta anak yatim melalui ayat 10, surah An-Nisa yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api ke dalam perut mereka dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala.”
Tanggungjawab siapa jika anak masih kecil?
Mengulas lanjut, Ustaz Hamka berkata, jika ada kanak-kanak yang menjadi yatim selepas kematian ibu bapa, maka ahli keluarga terdekat seperti datuk, nenek, bapa atau ibu saudara atau penjaga yang sah wajib memegang tanggungjawab tersebut.
Antara tanggungjawab itu ialah:
1. Melindungi dan menjaga anak tersebut dengan kasih sayang.
2. Menjaga hak dan kebajikan anak termasuk harta pusaka.
3. Menyediakan pendidikan dunia dan akhirat.
4. Tidak menafikan hak anak dalam urusan faraid.
“Jika tidak ada keluarga yang mampu atau sanggup, maka komuniti dan kerajaan perlu campur tangan demi menjamin kebajikan anak-anak tersebut.
"Ini bukan isu belas kasihan semata-mata, tetapi kewajipan syarie dan moral dalam kehidupan bermasyarakat,” tegas Ustaz Hamka.
Peranan guru, jiran dan kawan lebih daripada sekadar menziarah
Apa yang pasti, dalam menguruskan situasi kematian ini, jiran, guru, dan kawan juga memainkan peranan penting.
“Guru contohnya, boleh menjadi penyambung ilmu dan semangat anak yatim piatu untuk terus bangkit.
"Jiran pula menjadi mata dan telinga terhadap keselamatan serta kebajikan waris manakala rakan-rakan arwah, jika mereka mengetahui tentang hutang si mati, juga wajib membantu melangsaikannya,” ungkap beliau.
Jangan bebankan si mati dengan kelalaian kita
“Sesungguhnya, apabila seorang manusia meninggal dunia, amalannya terputus melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Menurut Ustaz Hamka lagi, anak-anak yang masih kecil hari ini mungkin tidak mengerti apa-apa, namun andai kita lalai menjaga dan harta mereka, maka bukan sekadar kita mengkhianati amanah, kita juga menutup peluang si mati untuk terus menerima pahala daripada anak-anak kelak.
“Justeru, umat Islam harus menjadikan tragedi ini bukan hanya ruang untuk simpati, tetapi sebagai seruan untuk bertindak secara amanah dan bijaksana.
“Tanggungjawab kita kepada si mati bukan hanya pada hari kematiannya, tetapi juga dalam memastikan hak-haknya selepas kematian terus terpelihara demi kelangsungan anak-anak dan waris yang ditinggalkan demi reda ALLAH SWT,” katanya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram