
DALAM dunia moden hari ini, rutin penjagaan diri seperti menyapu pelindung cahaya matahari dan krim pelembap sudah menjadi kebiasaan, lebih-lebih lagi dalam cuaca panas.
Namun apabila masuk waktu solat, timbul satu persoalan yang penting, adakah wuduk masih sah jika produk-produk itu masih melapisi kulit wajah?
Ini bukan sekadar soalan fiqah biasa, tetapi berkait langsung dengan kesahihan ibadah yang menjadi tiang agama.
BACA LAGI: Dekorasi pejabat ergonomik, gabung gaya, kesihatan di tempat kerja
Rasulullah S.A.W sendiri sangat menekankan kesempurnaan dalam berwuduk.
Dalam satu hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim, Baginda pernah melihat seorang lelaki sedang berwuduk, namun ada sedikit bahagian pada kuku kakinya yang tidak dibasahi air.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Kembalilah dan sempurnakan wudukmu."
Lalu lelaki itu pun mengulang wuduknya sebelum mendirikan solat.
Hadis itu jelas menunjukkan bahawa setiap inci anggota wuduk mesti terkena air dengan sempurna, tanpa sebarang halangan.
Perkara itu turut dijelaskan secara terperinci oleh Ustaz Wadi Annuar menerusi satu perkongsian di Instagram beliau.
Beliau menekankan bahawa antara syarat sah wuduk ialah tidak boleh ada sesuatu pada kulit yang menghalang air daripada sampai.
Jika terdapat bahan seperti losen atau sunscreen yang membentuk lapisan kalis air, maka wuduk tidak sah kerana ia menutup kulit daripada terkena air secara langsung.
Selain itu, jika bahan tersebut menyebabkan air berubah sifatnya sama ada dari segi bau, warna, atau rasa maka ia juga menggugurkan status air mutlak dan menyebabkan wuduk tidak diterima.
Menurut Ustaz Wadi, krim pelindung cahaya matahari atau krim pelembap perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk jika diketahui bahawa bahan tersebut menghalang air atau meninggalkan kesan berminyak pada kulit.
Namun jika produk itu cepat menyerap dan tidak membentuk lapisan, maka ia tidak menjejaskan sahnya wuduk.
Inilah yang memerlukan kefahaman dan pemerhatian pengguna sebelum mengambil air sembahyang.
Oleh itu, penting untuk umat Islam hari ini lebih peka dengan kandungan dan sifat produk yang digunakan, terutama apabila ia berkaitan langsung dengan amalan fardu seperti solat.
Jangan kerana ingin menjaga kulit, kita terleka dalam menjaga sahnya ibadah.
Jika ragu-ragu terhadap kesan sesuatu produk, lebih baik mencuci bersih kulit terlebih dahulu sebelum berwuduk agar tidak timbul keraguan dalam hati ketika menunaikan solat.
Ini kerana menjaga sahnya wuduk bukan hanya menunjukkan ilmu tetapi juga tanda kesungguhan dan ketulusan dalam beribadah kepada Allah S.W.T.
Sepertimana Rasulullah S.A.W tidak membiarkan walau sedikit bahagian kulit yang terlepas daripada air, kita juga perlu mengambil iktibar untuk sentiasa memeriksa dan memperbaiki amalan kita agar diterima oleh Allah S.W.T. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram