
KEHILANGAN Nurly Shahirah Azman, seorang daripada mangsa nahas melibatkan sebuah bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, Perak pada 9 Jun lalu masih menjadi bualan ramai.
Naskah al-Quran yang ditulis arwah ternyata meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh masyarakat Malaysia.
Usai 20 hari pemergiannya, pusara arwah Nurly juga terus diziarahi tanpa henti oleh orang ramai dari pelbagai pelusuk negeri sebelum ia dihentikan bermula Rabu hingga Sabtu ini.
BACA LAGI: 'Ada ambil tanah sapu muka anak,' tali dipasang keliling kubur Nurly, elak kegiatan khurafat
BACA LAGI: [VIDEO] Restoran mamak Kuala Lumpur viral di Douyin, diserbu pelancong China
Orang ramai tidak henti menziarahi pusara arwah Nurly sebelum kawasan itu ditutup bermula Rabu. — Facebook
Khabar tular mengatakan bau harum dari kubur arwah secara tidak langsung membuatkan lebih ramai tertarik untuk menziarahi kawasan tersebut.
Berdasarkan perkongsian daripada antara individu yang menziarahi pusara itu, pengguna akaun Facebook Busseroa Abd Jalil II sempat berkongsi pengalamannya ketika bersemuka dengan keluarga arwah Nurly.
"Sebelum berlalu, saya menitip salam untuk bapa Nurly. Mata saya terkelip-kelip kagum.
"Sudah 20 hari ibu bapa hebat itu melayan tetamu yang tidak pernah surut, tetapi senyuman dan keramahan mereka tetap sempurna.
"Keramahan dan senyuman si bapa terpasak kukuh pada wajah dan bibir walaupun kelihatannya sedikit letih.
"Saya kata 'maaf tuan saya nak tanya. Tadi di kubur saya tak dapat menghidu apa-apa bau.
"Tetapi, semasa saya sedang membaca Yasin barulah ada bau harum yang datang.
"Haruman tu seperti bau setanggi. Apa komen tuan? 'Saya pula terhidu bau kasturi' sampuk mak cik yang lain pula," tulisnya.
Mendengar soalan itu, bapa arwah, Azman Mohamad hanya tersenyum nipis dan menjawabnya dengan penuh tenang.
Kata lelaki berusia 63 tahun itu, dia memilih untuk tidak mengulas lanjut terhadap perkara baik yang disebutkan tentang anaknya.
"Sebab banyak perkara yang disebutkan itu saya hanya dengar daripada orang lain.
"Saya tidak melihatnya sendiri. Jadi saya nak komen pun tak tahu.
"Tetapi, dalam kuliah-kuliah agama ustaz ada sebut, orang yang beramal dengan al-Quran akan dimuliakan. Ada yang kubur mereka wangi.
"Jadi, kita ambil jalan tengah. Jika benar bau wangi itu ada, maka itulah rezeki yang ALLAH berikan kepada semua.
"Mudah-mudahan dengan rezeki itu kita akan lebih rajin untuk mendekatkan diri dengan al-Quran," tambahnya.
Dalam coretan sama, Azman dengan merendah dirinya memberitahu bahawa anak perempuannya itu hanyalah orang biasa.
"Cuma beramal sungguh dengan al-Quran yang dia hafal. Jadi, jika puan-puan dikurniakan oleh ALLAH untuk menghidu bau wangi dan sebagainya, mungkin dengan cara itu kita boleh sampaikan pengalaman tersebut kepada ahli keluarga yang lain.
"Jika sebelum ini anak atau suami jarang membaca al-Quran, mungkin kita boleh pujuk mereka melalui kisah ini.
"Hanya itulah yang boleh saya katakan. Kita ini kerdil, tiada apa-apa. Semua daripada ALLAH," jelasnya.
Jawapan Azman secara tidak langsung mengagumkan dan membuka mata masyarakat tentang pentingnya reda dengan takdir ditetapkan.
Meskipun timbul pelbagai isu melibatkan unsur khurafat atau syirik, kisah dan amalan arwah Nurly tetap memberi pengajaran buat seluruh umat Islam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram