
SETIAP kali tibanya bulan Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia kembali menelusuri sirah agung Nabi Ibrahim AS dan keluarganya.
Ia satu kisah penuh pengorbanan, kepatuhan dan keimanan yang menjadi asas kepada ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun.
Namun lebih daripada itu, sirah Nabi Ibrahim AS membawa nilai-nilai mendalam yang boleh dihidupkan semula dalam rumah tangga dan institusi kekeluargaan pada masa kini.
BACA LAGI: Kenali 3 wanita diceraikan tetapi memiliki kedudukan mulia di sisi TUHAN
Ketua Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sofa, Dr. Amirul Isma Md. Yusuf berkata, Nabi Ibrahim AS digelar Khalilullah (kekasih ALLAH) bukan sekadar kerana keteguhan iman baginda, tetapi juga kerana kesanggupan baginda menundukkan segala kehendak diri demi melaksanakan perintah TUHAN.
“Antara peristiwa paling menyentuh hati umat Islam ialah ketika baginda diminta menyembelih anakandanya, Nabi Ismail AS setelah sekian lama menanti hadirnya zuriat.
“Lebih mengagumkan, perintah ini turut diterima dengan lapang dada oleh Nabi Ismail AS yang ketika itu masih kecil tetapi sudah mempunyai keimanan yang teguh seperti ayahnya,” ujar Dr. Amirul kepada Majoriti.
Keteguhan iman sekeluarga
Menurut beliau, keteguhan hati Nabi Ismail terhadap arahan bapanya ketika itu terakam melalui firman ALLAH SWT dalam surah As-Saffat ayat 102 hingga 105 yang bermaksud:
“Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Engkau akan dapati aku, insya-Allah, termasuk orang-orang yang sabar."
“Dan apabila keduanya telah berserah diri (patuh) dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, Kami pun menyerunya: ‘Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik’.”
Jelas Dr. Amirul, di sebalik peristiwa itu, hakikatnya tersembunyi kekuatan tarbiah Nabi Ibrahim AS sebagai seorang ayah, kelembutan sokongan seorang ibu iaitu Siti Hajar dan kepatuhan Nabi Ismail AS, seorang anak yang memahami matlamat hidupnya.
“Inilah tiga tonggak dalam keluarga yang perlu dihidupkan semula dalam zaman moden ini di mana ayah sebagai qudwah, ibu sebagai penenang dan anak sebagai insan bertakwa,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Dr. Amirul berkata, hari ini, ramai memahami erti korban hanya dalam bentuk penyembelihan haiwan.
Namun hakikatnya, pengorbanan menurut syariat mencakupi penyerahan diri sepenuhnya kepada kehendak ALLAH SWT, sebagaimana firman-NYA dalam surah Al-An’am, ayat 162 yang bermaksud:
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk ALLAH, Tuhan seluruh alam.”
Dalam konteks kekeluargaan pula, Dr. Amirul menjelaskan ia melibatkan pengorbanan masa, tenaga, kehendak diri, bahkan membenamkan ego demi kebahagiaan bersama.
“Seorang suami mungkin perlu berkorban dari segi kerjaya demi masa bersama keluarga. Seorang isteri pula mengorbankan kepentingan diri untuk mendidik anak-anak dengan sabar dan kasih sayang.
“Manakala anak-anak diajar erti berkorban dengan menghormati dan meringankan beban ibu bapa. Inilah semangat Nabi Ibrahim AS yang perlu ditanamkan semula dalam setiap rumah tangga Muslim agar dipenuhi sakinah, mawadah dan rahmah,” ungkapnya lagi.
Apa yang pasti, semangat Nabi Ibrahim AS mengajar bahawa takwa dan reda kepada takdir ALLAH SWT tunjang kepada ketahanan jiwa dalam melayari bahtera kehidupan di dunia. — Gambar hiasan/Canva
Didik jiwa dengan sirah
Dalam pada itu, Dr. Amirul menekankan bahawa mengenalkan sirah Nabi Ibrahim AS kepada anak-anak bukan sekadar penceritaan semata-mata tetapi satu latihan pembentukan jati diri.
Sebagaimana sabda Nabi SAW:
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, ibu bapa wajar menjadikan kisah ini sebagai inspirasi dalam membentuk suasana rumah tangga yang subur dengan nilai keimanan, keyakinan dan pengorbanan.
“Tidak cukup sekadar bercerita, tetapi ia mesti diterjemah kepada amalan dan suasana di rumah. Ini peranan ibu bapa dalam mencorakkannya.
“Dunia hari ini penuh dengan cabaran yang menuntut kekuatan jiwa. Lantaran itu, generasi baharu perlu dilatih agar sanggup berkorban demi agama, masyarakat dan keluarga bukannya mementingkan keselesaan diri semata-mata,” tegasnya.
Apa yang pasti, semangat Nabi Ibrahim AS mengajar bahawa takwa dan reda kepada takdir ALLAH SWT adalah tunjang kepada ketahanan jiwa dalam melayari bahtera kehidupan di dunia sementara itu.
Darinya akan lahir keluarga yang tidak mudah rapuh walau diuji dengan kemiskinan, penyakit atau perpisahan.
“Sirah Nabi Ibrahim AS bukan hanya untuk dikenang, tetapi untuk dicontohi oleh umat Islam.
“Dalam kehidupan serba mencabar ini, penghayatan terhadap nilai pengorbanan amat penting untuk membina keluarga yang kukuh, saling memahami dan diredai ALLAH SWT.
“Semoga sambutan Zulhijjah dan Aidiladha kali ini menyemarakkan semula semangat pengorbanan dalam hati setiap Muslim, bermula dari dalam rumah kita sendiri,” pesannya menutup bicara.
Ingatlah firman ALLAH SWT dalam surah Al-Hajj, ayat 37 yang bermaksud:
“Tidak akan sampai kepada ALLAH daging dan darah haiwan korban itu, tetapi yang sampai kepada-NYA adalah ketakwaanmu.”
Tiga nilai kekeluargaan daripada kisah Nabi Ibrahim AS
Doa memohon keluarga taat, tabah
“Ya ALLAH, jadikanlah kami dalam kalangan hamba-MU yang taat seperti Nabi Ibrahim AS, tabah seperti Siti Hajar dan reda seperti Nabi Ismail AS. Tanamkan dalam hati kami cinta kepada pengorbanan demi keredaan-MU. Kukuhkanlah rumah tangga kami dengan keimanan, sabar dan kasih sayang serta anugerahkanlah kepada kami zuriat yang soleh dan solehah yang menjadi penyejuk mata di dunia dan akhirat.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram