Jangan hanya mencari kekurangan isteri, tanya juga pada diri sendiri, 'Sudahkah aku menjadi suami yang baik buatnya?


  • Cinta
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Suami dan isteri perlulah saling merenung diri masing-masing supaya dapat mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga.

JANGAN hanya mencari kekurangan isteri, tetapi persoalkan juga kepada diri sendiri tentang, "Sudahkan aku menjadi suami yang baik baginya?"

Ungkapan itu yang kelihatan ringkas sebenarnya memiliki makna mendalam sehingga menjadi tular di laman media sosial khususnya kaum wanita yang merasakan ia mewakili isi hati mereka yang terpendam.

Ramai yang tampil berkongsi pengalaman serta harapan mereka terhadap erti sebenar perkahwinan yang sepatutnya dibina atas dasar kasih sayang, tanggungjawab bersama dan komunikasi yang tulus.

BACA LAGI: 10 tahun selepas tragedi Kinabalu, kakak berjaya habiskan pendakian adik yang terkorban sebelum tiba di puncak

BACA LAGI: Malaysia dan Turkiye sepakat memperkasakan wanita, rancang mantapkan dasar kekeluargaan melalui MoU

Kehadiran pasangan mampu menjadi sumber kekuatan emosi khususnya buat si isteri. — Gambar Hiasan

Antara yang paling mendapat perhatian adalah mengenai peringatan bahawa kebahagiaan rumah tangga bermula daripada komunikasi.

Komunikasi yang jujur dan konsisten menjadi asas utama untuk membina hubungan yang sihat dan penuh pengertian. 

Dari komunikasi yang terbuka, akan hadir kefahaman rohani dan fizikal sehingga lahirlah toleransi yang akhirnya membuka jalan kepada solusi.

"Memendam perasaan itu sangat berbahaya. Bila hati seorang isteri mula terasa kosong dan dingin, jangan biarkan ia terus membeku," antara luahan yang dikongsikan oleh pengguna yang mendapat ribuan respons bersetuju.

Antara nasihat paling ditekankan adalah betapa pentingnya untuk tidak meninggalkan rumah atau tempat tidur walau seteruk mana pun pertengkaran berlaku. 

Ini kerana kehadiran fizikal tetap menjadi sumber kekuatan emosi bagi pasangan khususnya si isteri.

“Isteri tidak hanya perlukan nafkah dan makanan tetapi juga kasih sayang, perhatian dan doa dari seorang suami. Itu penawar jiwa kami,” tulis seorang wanita.

Hantaran itu membuka ruang kepada ramai pasangan lain untuk meluah suara hati mereka seperti seorang pengguna, Umi Najaa Najad yang telah melalui alam perkahwinan selama 17 tahun. 

Umi Najaa Najad menganggap komunikasi dan sentuhan seumpama ‘nyawa’ bagi hubungan dia dan suami.

“Kami masih kerap berhubung, bercerita, bergurau, berkongsi segalanya seolah-olah masih di awal perkahwinan. Ungkapan rindu dan cinta sentiasa kami lafazkan. Bila tiada komunikasi, terasa seolah-olah jauh dan diabaikan," katanya.

Bagi Norinah-noureen Md Lign pula, kejujuran dalam meluahkan perasaan adalah kunci. 

“Saya tak punya harta tetapi saya punya ketenangan bila saya dapat terus terang dengan pasangan saya. Kadang bila saya rasa seperti tak lagi disayangi, saya cakap saja. Dan selalunya, dia akan memeluk saya dan mengatakan betapa dia masih sayang. Itulah cukup buat saya," katanya.

Roslina pula mengingatkan bahawa dalam usia 50-an, isteri mungkin sudah penat melayan ragam dalam rumah tangga apabila pasangan kerap mengulangi kesilapan sama. 

“Jangan anggap masalah boleh selesai dengan gurau atau lawak bodoh. Bila isteri dah berpaling, jangan harap dia akan patah balik,” katanya.

Dalam luahannya, Amran Othman mengingatkan bahawa setiap ujian rumah tangga adalah peluang untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada ALLAH.

“Jangan cepat mencari salah pasangan. Sebaliknya, baiki diri sendiri. Setiap hari adalah peluang untuk jadi lebih baik. Saya doakan kita semua berjaya di dunia dan akhirat, menjadi suami yang soleh dan isteri yang solehah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram