Umar ibn Al-Khattab pencipta kalendar hijrah, sempena perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah


  • Mukmin
  • Isnin, 04 Nov 2024

Khalifah Umar ibn Al-Khattab dianggap sebagai pencipta kalendar hijrah yang menetapkan terdirinya 12 bulan berdasarkan kitaran bulan.

KALENDAR hijrah memainkan peranan penting dalam penentuan waktu bagi umat Islam dan menjadi asas bagi pelbagai peristiwa dan ibadah.

Di sebalik kalendar hijrah itu, pernahkah anda tahu siapakah orang pertama yang mengusulkan idea tersebut?

Menurut sumber penulisan daripada Al Ain University, penulisnya Haneen Kanaan ada menyatakan Khalifah Umar ibn Al-Khattab dianggap sebagai pencipta kalendar hijrah yang menetapkan terdirinya 12 bulan berdasarkan kitaran bulan.

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan buang selipar terkena najis anjing, elak keliru antara samak dan sertu

BACA LAGI: Guna kapak ketika berkhatan, Nabi Ibrahim AS manusia pertama diperintah bersunat ketika umur 80 tahun

2719754-2

Umar ibn Al-Khattab bersama penasihatnya bersetuju menjadikan tarikh kelahiran Nabi menjadi permulaan kalendar baru.

"Hingga kini, bulan purnama dan bulan sabit digunakan untuk mengesahkan permulaan dan penutupan setiap bulan terutamanya bagi menetapkan awal Ramadan, bulan Syawal serta tarikh 'Hari Raya Aidiladha' dan 'Aidilfitri'.

"Sebelum kalendar Hijrah digunakan, umat Islam merujuk kepada pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam seperti Tahun Gajah, tahun kelahiran Nabi Muhammad bagi menandakan waktu.

"Namun, 17 tahun selepas penghijrahan Nabi dan dalam tahun ketiga atau keempat pemerintahan Khalifah Umar ibn al-Khattab, Abu Musa al-Ash'ari dari Basrah (Iraq) mengadu tentang kekurangan tarikh yang konsisten dalam surat-menyurat yang diterimanya.

"Dia menulis kepada Khalifah Umar meminta cara baharu untuk mengira tarikh.

"Khalifah Umar membincangkan isu ini dengan penasihatnya dan ada yang mencadangkan supaya tarikh kelahiran Nabi menjadi permulaan kalendar baru sementara yang lain mencadangkan tarikh kematian baginda.

"Namun, kebanyakan bersetuju bahawa kalendar harus bermula dengan tarikh penghijrahan Nabi.

"Khalifah Umar kemudian berunding dengan sahabat-sahabat Nabi yang dihormati, Uthman ibn Affan dan Ali bin Abi Talib, dan mereka bersetuju.

"Akhirnya, Khalifah Umar mengumumkan bahawa tahun penghijrahan Nabi Muhammad akan menjadi permulaan kalendar hijrah.

"Kalendar ini akan bermula pada 1 Muharram dan berakhir pada bulan Dhu al-hijjah. Dengan itu, tahun 622 Masihi (tahun penghijrahan Nabi) menjadi tahun pertama dalam kalendar hijrah," memetik sumber.

Sementara itu, menurut laman al-Islam, Saidina Umar memilih peristiwa tersebut kerana hijrah menandakan satu titik perubahan dalam sejarah Islam apabila komuniti Islam mula berkembang di Madinah dengan cara hidup yang tersendiri.

Menurut al-Islam, sebelum penggunaan kalendar Hijrah, umat Islam tidak mempunyai sistem penandaan tarikh yang tetap dan mereka banyak bergantung kepada kalendar masyarakat lain khususnya yang berasaskan sistem solar.

Didorong oleh keperluan untuk pengurusan yang lebih tersusun, Umar mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama para sahabat besar termasuk Saidina Ali bin Abi Talib, menurut penulisan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram