KALAU sebut sahaja air zam zam sudah pasti ramai yang pernah merasai air itu yang dianggap suci dan sering digunakan oleh jemaah haji dan umrah untuk minum dan berdoa.
Difahamkan air zam zam memiliki pelbagai manfaat seperti sifat penyembuhan dan keberkatan malah ia adalah satu simbol sejarah yang mendalam bagi umat Islam.
Namun di sebalik kehebatan air zam zam, terdapat peristiwa menarik apabila terdapat manusia pertama yang merasai kenikmatan air suci itu.
Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Nabi Ismail di satu tempat dengan sedikit air. — Shutterstock
Ada yang menyatakan bahawa Nabi Ismail adalah manusia pertama yang meminum air tersebut dan sejauh manakah kesahihan itu?
Memetik laman Islam Online, menyatakan terdapat riwayat dari Ibn Abbas, Nabi Ibrahim AS datang ke Makkah bersama Siti Hajar ibu kepada Nabi Ismail yang pada ketika itu masih bayi.
Menurut riwayat itu, Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail di satu tempat dengan sedikit air.
"Setelah air itu habis, Siti Hajar merasakan Nabi Ismail kehausan dan berasa cemas melihat anaknya dalam keadaan susah lalu pergi ke gunung Safa dan memandang ke lembah untuk melihat jika ada orang namun tiada sesiapa.
"Hajar kemudian berlari ke gunung Marwah dan melakukan perjalanan antara dua gunung itu sebanyak tujuh kali.
"Ketika kembali, Siti Hajar mendengar suara dan meminta pertolongan. Pada ketika itu, malaikat Jibril datang dan menggali tanah di tempat zam zam menyebabkan air memancut keluar.
"Siti Hajar mengumpul air itu dan memberi minum kepada Nabi Ismail," kata penulisan itu.
Air zam zam memiliki pelbagai kelebihan kepada sesiapa yang meminumnya.
Dalam pada itu, laman portal Detik com menjelaskan berdasarkan buku "Kisah-Kisah Terpuji Asmaul Husna", Siti Hajar berlari antara bukit Safa dan bukit Marwah dalam usaha mencari air.
"Setelah berusaha lama, dia hampir putus asa dan teringat kepada Nabi Ismail AS yang ditinggalkannya lalu segera bergegas ke tempat anaknya.
"Setibanya di sana, Siti Hajar terkejut melihat mata air jernih mengalir dari kaki Nabi Ismail AS.
"Air itu terus mengalir dan membanjiri kawasan sekitarnya dan Siti Hajar menamakan air tersebut sebagai air zam zam.
"Dia meminum air zam zam dan dapat kembali menyusui Nabi Ismail AS hingga anaknya kenyang.
"Air zam zam terus mengalir sehingga kini, tidak pernah kering dan menjadi sumber air bagi manusia dari seluruh dunia yang mengunjungi Arab," memetik penulisan.
Penulisan daripada Kumparan woman pula menjelaskan ketika kesulitan itu, Siti Hajar memohon kepada ALLAH untuk membantu dirinya dan Nabi Ismail.
"ALLAH memberikan mukjizat apabila kaki Nabi Ismail bergerak-gerak dan menghentak tanah yang kering.
"Siti Hajar melihat perilaku anaknya dan menganggapnya wajar.
"Tiba-tiba, air mengalir deras dari jejak hentakan kaki Ismail.
"Tanpa ragu, Siti Hajar memberi Ismail minum dengan air itu dan mengambilnya untuk dirinya sendiri," kata penulisan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram