Tiada persefahaman lagi, Harith Iskander dan Dr Jezamine Lim sah bercerai talak satu


Harith dan Dr Jezamine selesai memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.

PELAWAK Harith Iskander, 58, serta isterinya, Dr Jezamine Lim, 41 sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pukul 12.05 tengah hari pada Khamis.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Jezamine berkata, permohonan perceraian bersama itu dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan dibenarkan Hakim Syariah Siti Noraini Mohd Ali.

“Selain itu, tuntutan nafkah anak diselesaikan dengan baik mengikut seksyen 73 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984,” katanya kepada media.

BACA LAGI: '14 tahun pertama jadi cabaran hebat rumah tangga', ramai simpati hubungan Dr Jezamine-Harith Iskander

BACA LAGI: 'Satu kampung kena laknat', penceramah ulas isu jasad suami mualaf Jennifer Coppen dibakar, abu dibuang ke laut

2793289

Harith dan Dr Jezamine sah bercerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.

Sebelum itu, Akberdin memohon prosiding berjalan secara tertutup dengan alasan anak guamnya dan defendan tidak mahu prosiding itu dilakukan dengan kehadiran orang awam.

Mengenai hak penjagaan anak atau hadhanah, Akberdin berkata, kes akan didengar pada minggu hadapan di mahkamah tinggi.

Akberdin berkata, tiada lagi sefahaman menjadi alasan perceraian pasangan selebriti itu.

Sebelum ini, kisah keretakan rumah tangga Harith mula menjadi bualan selepas gambar Dr Jazemine bersama peguam syarie itu tersebar.

Pada 8 Julai lalu, Jezamine mengesahkan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia memfailkannya pada sekitar bulan lalu dan tidak menafikan berita terbabit.

Selepas berita mereka mendapat liputan meluas, pasangan itu kemudian tampil membuat penjelasan mengenai situasi rumah tangganya menerusi sebuah 'podcast' di YouTube The Rakyat Post yang dihoskan Daphne Iking.

Harith menjelaskan mereka mengambil proses bertahun-tahun sebelum akhirnya memilih keputusan untuk nekad bercerai.

Keputusan itu bukan dibuat mendadak dan memang sudah usaha untuk pertahankan rumah tangga mereka.

Harith dan Dr Jezamine mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Zander Xayne, 14; Alessandra Jayne, 11; dan Zydane Zayne, 9. — The Star/ NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram