TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja berita mengenai kegoyahan rumah tangga pasangan sama cantik sama padan, Nur Fazura dan Fattah Amin beredar di media sosial sejak kebelakangan ini.
Tampil memperjelaskan isu tersebut, Nur Fazura berkata, rumah tangganya baik-baik sahaja dan tidak mengalami sebarang masalah.
"Saya dan Fattah okay," katanya.
Bagaimanapun, Fazura beranggapan sekarang bukan masa yang sesuai untuk mempamerkan kemesraan bersama suami dan anak-anak memandangkan berasa perlunya menghormati keadaan umat Islam di Palestin yang masih berdepan konflik dengan rejim zionis.
"It's not fair untuk tunjuk saya tengah bahagia dengan suami.
"Tak sesuai untuk tunjuk sayangnya saya dekat anak sedangkan umat Islam dekat sana sedang menderita, kehilangan keluarga dan anak-anak mereka.
"Saya nak muat naik gambar Fatimah pun fikir 10 kali," katanya kepada Majoriti.
Fazura turut berkata, dia lebih selesa untuk memuat naik sebarang gambar keluarga di akaun personalnya iaitu @Fattzuralovelife.
"Secara jujur saya memang hadkan hantaran di media sosial. Saya terkesan melihat mereka di Palestin.
"Saya ada akaun satu lagi yang di 'private' iaitu Fattzuralovelife. Jadi sesiapa yang ada dalam itu sahaja boleh tengok apa-apa update tentang kami," katanya.
Tidak hanya itu, Fazura berkata, mereka berdua juga sangat sibuk dengan kehidupan harian yang menyebabkan tiada masa untuk mempamerkan kebahagiaan.
"Kalau ada apa-apa spekulasi di luar sana itu memang tak betul.
"Kami okay hanya sahaja masing-masing sibuk. Contohnya Fattah. Ada suatu hari itu dia shooting di Port Dickson, Negeri Sembilan selama seminggu. Lepas itu balik sehari sahaja dan the next day pergi Johor pula untuk tiga hari," katanya.
Fazura bercakap sedemikian sewaktu Sidang Media dalam majlis pelancaran secara rasmi koleksi Merdeka 2023 PROSPEC Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) X Fazura di The Westin, Kuala Lumpur pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram