BARU-BARU ini tular mengenai seorang lelaki yang hilang selama empat hari iaitu sejak Sabtu lepas ketika mendaki berseorangan di Batu Kawan, Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Pendaki itu, Muhammad Azfar, 27, kemudiannya dijumpai selamat pada Rabu selepas operasi pencarian dan ikhtiar melalui solat hajat giat dijalankan berhari-hari bagi mengesan mangsa.
Bagaimanapun, foto mengenai penduduk kampung yang solat di atas bukit tersebut menimbulkan kemusykilan segelintir individu yang mempersoalkan keperluan solat di tempat berkenaan.
BACA LAGI: Penduduk siap solat hajat atas bukit, lelaki 'hiking' hilang 4 hari ditemukan selamat
BACA LAGI: Kubur suspek serang Balai Polis Ulu Tiram dijarakkan bukan untuk hina si mati
Sebahagian kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Bercakap soal itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berpendapat bahawa lebih baik jika solat berkenaan dilakukan dengan menitikberatkan tempat yang lebih sesuai seperti masjid atau pun surau.
"Tiada keperluan solat di tempat sebegitu, kecuali kalau ada kaedah yang diarahkan mengamal perubatan yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, pihak yang mahu meminta bantuan kepada ALLAH SWT agar mangsa dipertemukan di tempat itu tidak semestinya beribadat dalam tempat yang sama.
"Solat hajat tak semestinya di atas bukit. Melainkan kalau kita tersesat di dalam hutan.
"Kalau kita solat di atas bukit pun kita tidak pasti mangsa yang hilang itu berada lokasi yang mana satu. Kita memohon pertolongan daripada ALLAH dan Dialah yang menentukan," katanya.
Mohamad Sabri turut menyarankan agar pihak tertentu yang mengikuti operasi pencarian untuk membahagikan tugasan agar urusan lebih mudah.
"Tidak semestinya semua perlu lakukan solat hajat. Boleh bahagi tugas seperti sebahagian individu mencari di hutan sambil mendoakan manakala sebahagian lagi individu pula solat bersama-sama di masjid," katanya.
Mengulas mengenai situasi itu menyebabkan Mohamad Sabri teringat tentang kisah Rasulullah SAW sewaktu perang Badar.
"Waktu zaman Nabi Muhammad SAW pun mereka saling membahagi tugas. Dalam peperangan Badar tersebut Nabi Muhammad SAW banyak berdoa sementara sebahagian sahabat pergi berperang.
"Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata: "Cukuplah. Sesungguhnya ALLAH akan melaksanakan janji-Nya untukmu.," katanya.
Apabila ditanya mengenai masa yang sesuai bagi melakukan solat itu, Mohamad Sabri berkata, lebih afdal (baik) dilakukan pada lewat malam khususnya pada sepertiga akhir malam.
"Hujung-hujung malam seperti pukul 3 pagi atau 4 pagi. Selepas isyak juga boleh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram