PENGEBUMIAN suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor menjadi tular di media sosial susulan liang lahadnya ditempatkan jauh daripada penghuni kubur lain.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, ramai yang menyuarakan tentang tindakan yang diambil itu dengan menyifatkan soal dosa insan adalah dengan ALLAH, bukan dengan orang lain.
Antaranya, seorang pengguna, Mohd Shahdan Jelani yang musykil tentang tindakan mengasingkan kubur penjenayah dengan kubur umat Islam yang lain.
"Kenapa di asingkan," soalnya.
BACA LAGI: Polis bebaskan 2 suspek pelajar IPT terlibat serangan Balai Polis Ulu Tiram tanpa syarat
Serangan Balai Polis Ulu Tiram merupakan satu insiden berdarah yang mengorbankan dua anggota polis selain suspek.
Ada juga seorang individu, Mohd Rashdan Abdullah yang berpendapat bahawa tindakan mengebumikan dalam jarak yang jauh itu seolah-olah sama sekali tiada keperluan.
"Yang penting dimandikan, dikafankan, disolatkan dan doakan. Selesai. Apabila ditanam dekat ke jauh akhirnya ke tanah jua. Kubur hanya hiasan untuk orang yang masih hidup sahaja," katanya.
Mengulas soal itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berpendapat bahawa tindakan yang diambil Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor itu pastinya memiliki sebab-sebab tertentu.
"Bagi saya tak perlu ada yang pertikaikan tindakan itu diambil kerana ia tidak menghina si mati. Masih dikuburkan di perkuburan Islam cumanya dijarakkan sedikit," katanya kepada Majoriti.
Abdul Rahman berkata, tindakan menjarakkan kubur itu dilakukan juga bagi mengelak aib suspek dibuka dengan lebih besar.
"Kalau kubur itu berdekatan pusara orang lain, tidak mustahil akan timbul cerita mengenainya, dan ini mungkin dapat menimbulkan fitnah kepada dia (suspek) atau memalukannya," katanya.
Tambah beliau lagi, perkara itu bukanlah dibuat untuk menzahirkan kebencian terhadap suspek, sebaliknya adalah untuk menjaga maruah si mati.
"Zahirkan kebencian tidak boleh kerana kalau sudah meninggal dunia tidak boleh memburukkannya.
"Mungkin Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor tak bermaksud sedemikian dalam kenyataan yang diberikan sebelum ini," katanya.
Malah, Abdul Rahman berkata, pengurusan jenayah bagi suspek tetap dilakukan dengan sempurna iaitu masih disolatkan dan dimandikan.
"Cumanya pengurusan jenazah itu dikawal ketat. Dengan cara itu dapat elak ada individu lain yang tidak berpuas hati dengan kematian suspek, timbul isu kemarahan daripada anggota keluarga dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram hingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh perlu berjauhan dari kubur orang awam yang lain.
Umum mengetahui bahawa dua anggota polis yang terkorban adalah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad, selain suspek turut mati ditembak.
Keputusan menjarakkan kubur itu dilakukan hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu dengan dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Pada Isnin, Jawatankuasa fatwa berpendapat bahawa ia sebagai satu peringatan kepada masyarakat agar tidak terlibat atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
“Ia juga sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek lebih lagi membunuh pegawai yang menjaga keselamatan negara yang tiada melakukan salah dan silap terhadap suspek.
“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram