Azhan Rani 'training' daki gunung tertinggi Korea, biasakan diri di kawasan sejuk sebelum tawan Imja Tse


  • Hiburan
  • Isnin, 26 Feb 2024

Azhan Rani bersedia tawan Gunung Island Peak, Nepal.

PELAKON Azhan Rani berlatih dengan berdaki gunung tertinggi di Korea Selatan iaitu Gunung Hallasan sebagai persiapan lengkap sebelum menuju ke puncak lebih tinggi iaitu Gunung Island Peak, Nepal yang memiliki ketinggian melebihi 6,000 meter.

Menurut Azhan atau Azhan Abdul Rani, 48, pendakian yang dibuat di Gunung Hallasan adalah untuk menguji tahap kemampuan tubuhnya berada di kawasan yang bersuhu sejuk.

Tambahan lagi, dia perlu berbuat demikian kerana sebahagian kecil tulangnya diganti besi dan 26 batang skru ekoran pernah ditimpa kemalangan sebelum ini.

"Saya ada dua plat besi di bahu kerana pernah mengalami kemalangan.

"Saya juga ada masalah lain iaitu bila orang lain rasa panas, saya pula rasa sejuk. Kadang-kadang tengok orang lain pagi-pagi panas, saya pula sejuk, siap berjaket.

"Jadi saya panjat gunung di Korea kerana nak cuba biasakan diri dengan keadaan bersalji, Alhamdulillah sekarang dah okay," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Azhan Rani bersedia tawan Gunung Island Peak di Nepal

WhatsApp Image 2024-02-25 at 3.58.37 PM

Majlis flag off di KLIA untuk merealisasikan misi Pendakian Amal SAR Ahsana Ke Island Peak & Everest Base Camp Bersama Azhan Rani 2024.

BACA LAGI: [VIDEO] Suhu sejuk ekstrem jadi cabaran 13 pendaki tawan gunung bersalji, Island Peak

Selain mendaki Gunung Halasan, Azhan juga mengambil peluang membuat latihan pendakian dengan memanjat gunung lain seperti Gunung Sinsing, Gunung Kinabalu dan Gunung Hitam sebagai persiapan menawan puncak Island Peak atau juga dikenali sebagai Imja Tse.

Dalam pada itu, Azhan turut memberi pesanan buat individu di luar sana yang baru mahu berjinak-jinak memulakan pendakian.

"Kita kena ada rujukan sebelum mahu mulakan pendakian di lokasi yang kita tak pernah pergi.

"Tidak sekadar membaca atau carian di internet. Kita kena ada ilmu pendakian serta rutin yang sistematik," katanya.

Selain itu, Azhan turut berkata, seseorang yang berpengalaman juga penting untuk mengetuai pendakian yang dirancang bagi membolehkan aspek keselamatan terjamin.

Setiap pendaki pasti pernah mengalami kesukaran dan bagi Azhan, dia sendiri pernah mengalami peristiwa ngeri ketika mendaki gunung Murud.

"Saya pernah buku lali meletup ketika kaki terjerumus masuk lubang. Namun, saya tetap teruskan pendakian yang berbaki empat hari walaupun kaki terhincut-hincut," katanya.

Pada Ahad, Azhan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memulakan misi pendakian di Gunung Island Peak bersama 12 pendaki yang lain.

Lima pendaki akan menawan puncak Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter atau 20,210 kaki dari aras laut manakala lapan lagi pendaki akan melengkapkan misi ke Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut.

Program amal anjuran Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu adalah cetusan idea Azhan sendiri.

Selain sebagai misi pendakian amal, Azhan Rani juga melakukan pendakian itu dengan membawa sebuah bendera Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sebagai penghargaan buat universiti itu apabila dia berjaya merangkul Anugerah Ikon Kesenian Alumni pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram