TIDAK salah meminta orang lain untuk menghabiskan makanan yang dijamah jika sudah kenyang, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Wan Salim berkata sedemikian bagi mengulas isu mengenai postingan pelakon, Sheila Rusly yang menjadi perdebatan di media sosial hanya gara-gara dia meminta supaya suaminya menghabiskan makanan ketika beraya.
"Adab beraya, terpaling tak membazir," tulis Sheila Rusly dalam videonya.
BACA LAGI: Rizky dan Mahalini kahwin, MUI anggap ikatan tak ikut syariat agama
BACA LAGI: [VIDEO] Tidak harus hukum renjis kereta elak musibah, jelas Jabatan Mufti Selangor
Sheila Rusly meminta suaminya untuk menghabiskan makanannya.
Meskipun berniat untuk mengelak daripada membazir, masih terdapat beberapa individu yang beranggapan bahawa perkara itu seolah-olah menjijikkan.
Antaranya, seorang pengguna, Rena Hamdan yang menceritakan bahawa neneknya dan datuknya yang sangat menjaga dan tidak memakan sisa dari pinggan masing-masing.
"Untunglah lelaki korang jenis nak tolong habiskan. Ada suami yang memang tak makan sisa isteri. Benda itu dia jaga, datuk aku tak makan sisa isteri, nenek pun tak berani cekur ke cuit ambik dari pinggan datuk. Tapi rumah tangga mereka harmoni kerana nenek hormat sangat dekat datuk. Hari-hari solat jemaah bersama. Meninggal dunia pun dua-dua kubur bersebelahan," tulis Rena Hamdan.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sisa makanan seseorang bukanlah najis walaupun mungkin dipandang jijik orang sebahagian orang.
"Tiada larangan di dalam agama Islam untuk seseorang Muslim memakan lebihan atau sisa orang lain.
"Ini lebih kepada pertimbangan peribadi yang tiada kaitan dengan hukum syarak," katanya.
Bukan itu sahaja, Wan Salim menjelaskan bahawa hukum memakan lebihan atau sisa makanan orang lain adalah harus menurut hukum Islam.
"Makanan dan minuman adalah nikmat anugerah ALLAH SWT, maka tidak wajar makanan atau lebihannya dibuang di dalam bakul sampah, di dalam longkang atau di mana-mana tempat," katanya.
Tambahnya, seseorang hendaklah menjamah sesuatu makanan selagi mana tidak basi atau rosak.
"Jika dia tidak mahu memakannya sendiri kerana kekenyangan atau kerana sebab-sebab lain maka dia hendaklah memberikannya kepada orang lain untuk dimakan.
"Malah, memberikan sisa makanan atau lebihan kepada haiwan adalah lebih baik daripada dibuang begitu sahaja," katanya.
Selain itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron pula berpendapat bahawa dengan menikmati hidangan bersama dapat merapatkan lagi hubungan di antara suami dan isteri.
"Tiada masalah isteri mahu suruh suami habiskan makanan pun, orang kata saling romantik," katanya.
Mohamad Sabri berkata, baginda Nabi Muhammad S.A.W juga pernah berkongsi minuman bersama isteri tercintanya, Aisyah R.A.
"Gelas yang diminum Aisyah, Nabi Muhammad juga minum.
"Pasangan suami isteri minum guna straw yang sama juga tiada masalah yang penting tidak membazir kerana membazir amalan syaitan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram