[VIDEO] 'Jaga sensitiviti, adab ziarah kubur', berbaju raya tema Barbie permain syariat diajar nabi


  • Mukmin
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Tular mengenai usahawan dan pempengaruh, Syed Muhammad Syah Hasif menampilkan tema unik Barbie bagi memberi kelainan pada Syawal 2024.

UMAT Islam perlulah menjaga sensitiviti masyarakat dalam memaparkan sesuatu perbuatan yang menyentuh adat dan tradisi semasa hari perayaan, kata pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Dr Mohd Izhar berkata sedemikian ketika menyentuh isu mengenai usahawan dan pempengaruh, Syed Muhammad Syah Hasif yang memuat naik klip video menziarahi kubur dengan busana raya bertemakan Barbie.

"Saya harap orang kita lebih sensitif dalam nak mengubah adat-adat yang telah dibiasakan dalam negara kita, dalam kalangan orang Islam dan orang Melayu.

"Masyarakat lain seperti Cina juga sangat menjaga pakaian kebudayaan mereka. Hatta, orang Arab sendiri tidak pernah mengotorkan pakaian rasmi mereka iaitu jubah dengan sesuatu yang pelik-pelik sehingga menghilangkan kebudayaan Arab," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Jangan tak tahu duit raya hak anak, kalau ibu bapa guna wajib kena ganti

BACA LAGI: Balik kampung beraya, ketahui formula solat qasar dan jamak musafir

Dr Mohd Izhar turut menegaskan bahawa setiap busana tradisional seperti baju melayu, tengkolok dan sebagainya memiliki lambang tersendiri.

"Samping, baju Melayu dan tengkolok mempunyai makna tersirat jadi kena hati-hati supaya tak menyinggung mana-mana pihak.

"Kita pakai baju Melayu lambang kebangsaan, tiba-tiba cemarkan dengan sesuatu yang tidak sesuai dan datang dari Barat, adat tidak boleh menerima pakaian yang boleh menjatuhkan maruah orang Melayu," katanya.

Selain itu, Dr Mohd Izhar berkata, adab menziarahi kubur perlulah ditonjolkan meskipun hanya dalam bentuk content video.

"Kita tidak boleh menziarahi kubur dalam keadaan pakaian yang kurang senonoh atau tidak elok.

"Sebagai contoh, pada awalnya ziarah kubur untuk mengingati mati tetapi selepas itu terus berjoget seakan-akan menziarahi kubur tiada unsur keinsafan," katanya.

PROF.-MADYA-DATO-DR.-MOHD-IZHAR-ARIFF-MOHD-KASHIM-01

Dr Mohd Izhar berkata, adab menziarahi kubur perlulah ditonjolkan meskipun hanya dalam bentuk content video.

Jelas bahawa, umat Islam perlu mengelak daripada mempermainkan syariat menziarahi kubur seperti yang diajarkan Nabi Muhammad SAW.

Dr Mohd Izhar turut berpandangan bahawa perbuatan sebegitu tersebut hanya akan menimbulkan rugi kepada diri sendiri.

"Content yang kita nak buat perlu jelas dari sudut motif kerana akhirnya kita juga yang rugi akibat mendapat tempias yang tidak elok.

"Video itu juga melibatkan anak-anak jadi hati-hati supaya tidak menimbulkan kontroversi yang mengundang perbalahan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang Islam," katanya.

Sebelum ini, Syed Muhammad turut dikecam selepas memuat naik klip video menziarahi kubur dengan pakaian raya bertemakan Barbie.

Dalam satu hantaran di media sosial, seorang pengguna media sosial, Mohd Hamdan beranggapan pakaian yang dikenakan Syed Muhammad sama sekali tidak bersesuaian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram