TIDAK dinafikan, ramai orang mudah terpengaruh di sebalik penampilan imej alim yang dibawa seseorang individu. Meskipun hanya mengenakan pakaian yang membawa imej warak, ia menjadi 'modal' untuk mengaburi mata selain meraih populariti.
Sejak tahun lalu, nama Mawla Muhammad Amin al-Idrisi heboh diperkatakan malah disanjung selepas lelaki itu mengaku dirinya adalah keturunan Nabi Muhammad SAW.
Tetapi, baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, kehadiran lelaki warga Algeria yang mendakwa dirinya sebagai cicit Nabi Muhammad SAW ke negara ini akan terus dipantau rapi.
Saifuddin berkata, jika lelaki warga Algeria itu dikesan melakukan aktiviti menyalahi undang-undang, maka pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk mengambil tindakan.
Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada sikap taasub kepada seseorang yang mendakwa dirinya keturunan nabi Muhammad SAW.
Menterinya, Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan yang tertentu.
BACA LAGI: Miliki hak eksklusif Taylor Swift, PM Singapura tidak berniat cetus permusuhan serantau
BACA LAGI: [VIDEO] Keluang Man mula 'beraksi' April ini, peminat berpeluang jadi superhero di KidZania
Bercakap soal itu, Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menegaskan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan dakwaan seseorang termasuk dengan dakwaan memiliki keturunan Rasulullah SAW.
"Kehebatan seseorang terletak kepada ketakwaan kepada ALLAH bukannya dengan mendakwa diri memiliki keturunan Nabi Muhammad SAW," katanya.
Mohamad Sabri juga berharap masyarakat tidak menggunakan agama untuk kepentingan diri khususnya hal berkait duniawi.
"Agama khususnya Addin Islam itu sendiri untuk mendapat keredaan Allah SWT semata-mata.
"Islam mengajar umatnya untuk mendapat rezeki yang halal dengan cara-cara tertentu menurut syariah dan niat yang ikhlas kepada Allah SWT.
Dalam perkembangan sama, Penasihat Agama Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar secara umumnya menyifatkan imej rawak dan alim mudah menjadikan orang ramai tertipu jika mereka tidak membuat semakan secara teliti dan mendalam.
Beliau memberi contoh sindrom mata biru yang merujuk kepada orang luar yang diagungkan masyarakat tempatan secara berlebihan.
Justeru, beliau mengakui dek kerana sindrom itu, wujud golongan yang berselindung di sebalik penampilan alim untuk kepentingan sendiri.
"Memang wujud gerakan-gerakan yang menggunakan agama, segelintir masyarakat kita mudah tertipu," katanya.
Asmawi turut berkata, masyarakat perlulah mengambil langkah meneliti terlebih dahulu tentang sesuatu perkara sebelum mempercayainya dengan mudah.
Sebagai contoh, masyarakat perlulah mengamalkan tabayyun untuk menyemak asas kebenarannya sesuatu hal.
"Tabayyun itu kita memeriksa semula dengan teliti, mengkaji kesahihan sesuatu perkara," katanya.
Dalam pada itu, Asmawi berharap pihak berkuasa melakukan usaha bagi mengatasi perkara itu.
"Perkara ini menjadi satu ancaman buat negara kita.
"Jabatan agama negeri-negeri dan pihak berkuasa lain perlulah menjadi benteng paling hadapan untuk menghadapi perkara ini sebelum merebak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram