TULAR di media sosial mengenai tindakan seorang individu yang sengaja menunjuk perasan apabila makanan dipesannya mengandungi tauge meskipun sudah menyatakan bahawa dia tidak mahu sayur itu dimasukkan dalam menu yang dipesan di sebuah gerai baru-baru ini.
Lebih teruk, lelaki berkenaan bertindak membuang sayur itu yang tidak mahu dimakan ke atas meja tanpa berlapik sehingga menyebabkan kekotoran sebagai tanda protes.
"Biasanya I akan suruh masak semula. Tapi sebab kesian dengan kedai makanan tu, perniagaan sendu pelanggan tiada, ini tanda protes. Kau bersihkan lah meja tu kak.. lain kali dengar betul-betul. No tauge means no tauge.
"Dah cakap elok-elok dengan tukang ambil makanan. Tapi tukang masak pelupa ke tukang ambil makanan tak dengar. Gerai Melayu tak pakai chopstick, sisih guna garpu memang melekat mcm ni," tulisnya.
Tindakan lelaki terbabit jelas mengundang perasaan tidak puas hati netizen khususnya Muslim yang menganggap ia satu pembaziran dan tidak beradab.
BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat
Lelaki berkenaan dilihat meletakkan tauge di atas meja sebagai tanda protes.
BACA LAGI: [VIDEO] Perbuatan meletakkan ayat al-Quran ke dalam air bukan bidaah, kata ulama Indonesia
Walau bagaimanapun, masa dan tempat kejadian itu berlaku masih belum dapat dipastikan.
Mengulas isu tersebut, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan membuang tauge dan kemudiannya diperbesar-besarkan di media sosial seperti itu termasuk dalam bab kerosakan akhlak.
"Tiada rawatan yang mengatasi perangai yang buruk seperti ini kecuali melalui pendidikan akhlak yang mulia," katanya kepada Majoriti.
Wan Salim berkata, dia berharap aspek pembinaan sahsiah dapat diberi perhatian bagi seorang Muslim.
"Selain daripada aspek akidah dan ibadat yang amat ditekankan di dalam ajaran Islam, penanaman nilai-nilai akhlak mulia juga perlu diketengahkan.
"Ini kerana usaha penanaman nilai-nilai akhlak mulia mampu melahirkan manusia yang bermanfaat demi keharmonian dan ketenteraman negara," katanya.
Dengan menjaga sahsiah, Wan Salim berkata, kejadian tidak bermoral juga boleh dielakkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram