Panduan solat hajat, bacaan Qunut Nazilah iringi jihad rakyat Palestin


  • Mukmin
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Ketika berdepan musibah dan kesulitan, orang Islam berdoa memohon pertolongan kepada ALLAH SWT. — Gambar hiasan

UMAT Islam di negara ini diseru supaya mengadakan solat hajat dan bacaan doa Qunut Nazilah sebagai solidariti kepada rakyat Palestin.

Ketika ini, masjid di seluruh negara giat melaksanakan solat hajat serta bacaan Qunut Nazilah selepas solat Jumaat dan solat fardu bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat di negara bergolak berkenaan.

Solat hajat dan bacaan itu boleh dilakukan di masjid-masjid atau premis masing-masing pada masa bersesuaian dengan hukum mengerjakan solat hajat adalah sunat.

Panduan solat hajat

Solat hajat boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah dan tidak ditentukan jumlah rakaat sebenar.

Namun, biasanya ia dilakukan antara dua hingga 12 rakaat.

Berikut dikongsikan kaifiat solat hajat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim):

cara-solat-hajat-1024x1024

Panduan solat hajat dua rakaat adalah seperti berikut:

Niat solat hajat. Lafaz bagi niat solat hajat dengan membaca

أُصلِي سُنة الحاجةِ ركعتينِ لِلهِ تعالى (Rumi: U-shol-lii sun-na-tal haa-ja-ti rok-’a-tai-ni lil-laa-hi ta-’aa-laa)

Sahaja aku solat hajat dua rakaat, kerana ALLAH SWT

  • Bacakan surah al-Fatihah
  • Membaca ayat Kursi

Anda digalakkan membaca ayat Kursi atau surah al-Kafirun atau kedua-duanya sekali. Namun, anda juga boleh membaca apa-apa surah atau ayat di dalam al-Quran.

  • Rukuk dan sujud seperti biasa
  • Bacakan al-Fatihah dan surah al-Ikhlas
  • Tahiyat akhir dan beri salam

Amalan selepas solat hajat

i) Boleh bersujud selepas memberi salam dan membaca 10 kali tasbih berikut:

سُبحان اللهِ والحمدُ لِلهِ ولا إِله إِلا اللهُ واللهُ أكبرُ ولا حول ولا قُوة إِلا بِالل

Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar wala hawla wala quwwata illa billah

ii) Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW 10 kali

للهُم صلِ علٰى سيِدِنا مُحمدٍ وعلٰى اٰلِ سيِدِنا مُحمدٍ

iii) Membaca doa berikut:

ربنا آتِنا فِى الدُنيا حسنة وفِى الآخِرةِ حسنة وقِنا عذاب النارِ

cara-solat-hajat-1-1024x1024

Doa solat hajat

Anda boleh bacakan doa solat hajat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ketika bersujud atau selepas selesai solat:

لا إِله إِلا اللهُ الحلِيمُ الكرِيمُ سُبحان اللهِ ربِ العرشِ العظِيمِ الحمدُ لِلهِ ربِ العالمِين اللهُم إِنِي أسألُك مُوجِباتِ رحمتِك وعزائِم مغفِرتِك والغنِيمة مِن كُلِ بِرٍ والسلامة مِن كُلِ إِثمٍ أسألُك ألا تدع لِي ذنبا إِلا غفرتهُ ولا هما إِلا فرجتهُ ولا حاجة هِي لك رِضا إِلا قضيتها لِي

Maksudnya: Tidak ada tuhan yang diabdikan diri selain ALLAH, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha suci ALLAH, tuhan kepada ‘arasy yang agung. Segala puji bagi ALLAH, tuhan sekalian alam. Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, serta pengampunan-Mu, ghanimah daripada setiap kebaikan, dan kesejahteraan daripada semua dosa.

Aku juga memohon ampun kepada-Mu, supaya Kau tidak meninggalkan kepadaku satu dosa pun kecuali telah Kau ampunkannya. Tidak juga sebarang kegusaran melainkan Kau permudahkan ia, serta tidak ada hajat yang Kau reda kepadanya melainkan Kau laksanakan ia untuk diriku. Kemudian dia meminta kepada ALLAH berkenaan perkara dunia dan akhirat, maka sesungguhnya ia ditakdirkan. (Hadith riwayat Ibn Majah, hadith no. 1384).

Fakta Qunut Nazilah

Qunut Nazilah hanya dibaca dalam solat fardu iaitu disunatkan untuk membaca qunut setelah bangun daripada rukuk pada rakaat yang terakhir.

Ia disunatkan untuk dibaca secara jelas dan disunatkan untuk mengangkat tangan yang mana ianya dibaca pada rakaat terakhir setelah bangun daripada rukuk.

Bacaan Qunut Nazilah diharuskan dibaca ketika umat Islam ditimpa musibah besar yang boleh memudaratkan agama suci itu dan Muslim secara keseluruhan sama ada diperangi secara nyata atau dikhianati musuh.

Musibah dimaksudkan menurut Imam al-Nawawi adalah yang menimpa ke atas orang Islam seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain.

Ibn Hajar al-Haitami pula menjelaskan sama ada nazilah tersebut bersifat umum atau khusus yang melibatkan masyarakat umum yang mana kemudaratannya akan melibatkan umat Islam seperti wabak dan juga taun serta hujan lebat yang memudaratkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram