RAMADAN kali ini sekali lagi dicemari insiden keganasan apabila tentera Israel menyerang Masjid Al-Aqsa, Palestin pada Khamis dengan rejim Zionis terus meningkatkan serangannya di beberapa lokasi.
Sejak tiga tahun lalu, setiap kali Ramadan, Israel melakukan serangan termasuk bedilan roket menggunakan pesawat.
Menerusi perkongisan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, beliau mendapat khabar berita serangan itu ketika berada di bumi Mekah.
"Dari bumi Makkah al-Mukarramah, saya mendapat perkhabaran langsung daripada pejabat Majlis Hukama’ Muslimin yang dipengerusikan oleh Syeikhul Azhar berkenaan serangan Israel kepada Masjid al-Aqsa.
"Sebagaimana siri serangan pada tahun-tahun sebelumnya, Israel sengaja menjadikan bulan Ramadan dan Masjid Al-Aqsa sebagai sasaran tindakan kejam mereka. Kekejaman yang tidak akan dimaafkan oleh mana-mana manusia yang bertamadun.
"Bersempena bulan yang penuh keberkatan ini, sama-sama kita panjatkan munajat, dan membaca Qunut Nazilah dalam solat-solat fardhu kita. Hanya kepada-Mu, kami berserah," katanya.
Sebelum ini, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri.
Beliau dalam satu hantaran menerusi akaun Facebook miliknya berkata, kawasan berhampiran kediamannya antara lokasi yang dibom tentera Israel.
Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) memberitahu pertempuran di antara penduduk Palestin dan tentera Israel kini merebak di lokasi lain.
"Pemuda dari seluruh bandar Palestin menyahut seruan mu'takifin dan keluar berarak menyatakan sokongan terhadap Masjid Al-Aqsa yang masih diserang sehingga kini.
"Pertempuran juga merebak di lokasi lain antara penduduk dan tentera penjajah," katanya yang turut memuat naik video menunjukkan penduduk Palestin keluar beramai-ramai dari sebuah kawasan perumahan bagi menyuarakan bantahan berhubung serangan berkenaan.
Dalam pada itu, kumpulan Hamas berkata, mereka tidak akan berdiam diri mengenai tindakan penindasan polis Israel di Masjid Al Aqsa itu.
Menurut mereka, keganasan terhadap jemaah melanggar hak asasi manusia, lapor CNN Indonesia pada Khamis.
Sebagai respon serangan terhadap Al Aqsa pada Rabu, Hamas bertindak melancarkan roket ke arah Israel.
Sekurang-kurangnya sembilan roket dilancarkan dari Gaza, Palestin ke Israel.
Tidak berdiam diri, tentera Israel bertindak balas dengan melakukan serangan udara dan serangan kereta kebal.
Dalam 24 jam terakhir, tentera Israel sudah dua kali menyerang Masjid Al Aqsa.
Serangan pertama berlaku pada waktu subuh, dan menyebabkan 12 orang cedera.
Manakala dalam serangan kedua pada ketika matahari terbenam pada Khamis, menyebabkan enam orang dilaporkan cedera.
Terkini, tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan udara balas di Gaza awal pagi Jumaat, beberapa jam selepas berpuluh-puluh roket dilepaskan dari negara jiran Lubnan ke wilayah Israel, dalam satu serangan yang dipersalahkan oleh tentera Israel ke atas Hamas.
Serangan Israel itu terkena beberapa kawasan yang dikawal oleh Hamas, lapor CNN pada Jumaat.
Beberapa jam sebelum tentera Israel menyerang Gaza, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa mereka akan menghancurkan musuh dan membayar harga untuk setiap tindakan keganasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram