ISRAEL tidak pernah berhenti melakukan tindakan melampau seperti yang pernah dilakukan oleh kaum Tsamud dan kaum Ad.
Terbaharu, bumi Gaza ketika ini sedang mengalami kemusnahan yang teruk di samping meragut ribuan nyawa yang tidak bersalah akibat jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Israel, termasuk menyekat keperluan asas seperti makanan, perubatan dan melumpuhkan fasiliti awam.
Menurut laporan agensi media Palestin, Al-Ray yang dikongsikan Pengurus Muslim Care Malaysia-Palestin, Ahmed Abu Ayesh melalui aplikasi WhatsApp pada Rabu, 11 Oktober 2023, kemusnahan besar-besaran sedang dilakukan rejim Israel ke atas bumi Palestin ketika ini.
Ustaz Somad (kiri) bercerita tentang perjuangan Gaza apabila dibedil tentera zionis Israel — Gambar hiasan
Persoalannya ketika ini mengapa ALLAH SWT tidak membinasakan kaum rejim zionis Israel yang kita dapat lihat secara terang-terangan mencabuli hak asasi rakyat Palestin.
Dipetik dari Inews.id, pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad berkongsi cerita bahawa dirinya sempat bertanya mengenai isu Israel kepada ulama.
Dia juga mengakui hairan mengapa ALLAH SWT tidak membinasakan Israel sekali gus melenyapkan kaum itu.
"Israel kenapa tidak dibinasakan sama ALLAH, kenapa tidak dimatikan oleh ALLAH? Menangis Syekh Abdul Karim al-Maqdisi menceritakan ini kepada Syekh Abdul Sattar," kata Abdul Somad dalam sebuah video yang di muat naik di akaun Instagramnya.
Tangkap layar video Ustaz Abdul Somad yang beremosi ketika menyampaikan ceramah. — Gambar hiasan
Dalam video tersebut Abdul Somad menangis menceritakan mengapa ALLAH tidak membinasakan Israel.
Pendakwah yang berasal dari Pekanbaru, Riau, Indonesia itu memberitahu, kaum Nabi Nuh dan kaum Ad dibinasakan oleh ALLAH manakala kaum Nabi Saleh dan kaum Tsamud juga dihancurkan oleh ALLAH namun mengapa kaum yang zalim satu ini tidak dilaknat olehNya?
"Kaum Ad mati hancur, kaum Tsamud mati. Kenapa kaum terlaknat ini (Israel) masih hidup?," katanya.
Akhirnya dia bertanya isu ini kepada gurunya di Universi Al Azhar, Mesir yang bernama Syekh Muhammad Jibril.
"Saya pernah bertanya perkara ini kepada guru saya di Al Azhar, Syekh Muhammad Jibril mengapa ALLAH SWT tidak binasakan Israel?," tanya Abdul Somad kepada gurunya.
Jawapan gurunya membuatkan Abdul Somad hilang kata-kata.
"Kalau ALLAH binasakan Israel, lalu kau masuk syurga pakai apa? ALLAH biarkan mereka hidup supaya kau berjihad di jalan ALLAH," jawab Syekh Muhammad Jibril.
Letusan bola api ketika pengeboman Israel ke atas Gaza City pada 9 Oktober 2023. — Foto AFP
Dalam akhir video itu, Abdul Somad menasihati penonton dan jemaah yang hadir supaya belajar menjadi orang berguna dan berjaya agar ilmu dan kuasa mampu membantu saudara Islam di sana.
Ilmu adalah 'harta' yang orang lain tidak boleh curi daripada kita, maka carilah ilmu sebanyak mungkin agar dengan ilmu kita mampu mengubah dunia.
Kebangkitan Palestin melalui Operasi Taufan Al-Aqsa mampu menjadi titik tolak kepada perubahan menyeluruh umat Islam dalam membela nasib umat Islam yang tertindas di seluruh dunia, khususnya di Palestin.
Berdasarkan perkongsian, Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (Zawaf) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd Ashraf Zaid Yaakob, berikut Majoriti senaraikan respons segera umat Islam bagi menekan Zionis Israel secara halus.
1. Kempen pemboikotan produk keluaran Israel dan sekutunya perlu digerakkan semula secara besar-besaran.
Memang diakui, kempen sebegini dilihat lebih bersifat bermusim, namun sekiranya ia digerakkan secara berstrategi dan menyeluruh, pastinya memberi kesan lebih kuat.
2. Media sosial memainkan peranan penting dan sangat berkesan ketika zaman ini.
Walaupun media sosial utama dunia dikuasai Israel seperti Twitter, Instagram dan Facebook namun dengan kekuatan solidariti umat Islam berjumlah 1.9 billion, ia mampu menggegar dunia serta dedahkan kezaliman Israel kepada penduduk Palestin.
Sedikit sebanyak usaha ini dapat membuka mata mereka di luar sana kekejaman Israel yang setiap hari meragut nyawa saudara kita di sana.
Maklumat berkaitan Palestin boleh dikongsi secara reverse psychology iaitu dengan memulakan perkongsian maklumat berkaitan pelancongan di Israel, kemudian diikuti dengan realiti penindasan yang berlaku di Palestin serta sejarah asal kewujudannya.
Israel terus menyerang penempatan awam dan memutuskan bekalan elektrik di Semenanjung Gaza. — Foto AFP
3. Penyaluran dana kewangan adalah keperluan bagi pejuang Palestin dalam usaha perjuangan ini.
Umat Islam wajib menyalurkan bantuan semampu mungkin kepada badan yang menguruskan sumbangan terus kepada pejuang Palestin.
Pelbagai NGO di Malaysia yang mempunyai akses terus ke Palestin seperti Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang diketuai saudara Nadir Al-Nuri, rakyat Malaysia yang menetap di Palestin.
Sumbangan kewangan adalah bukti solidariti umat Islam dan kesaksian di hadapan ALLAH SWT penyertaan kita dalam perjuangan suci ini.
4. Momentum solidariti kebajikan umat Islam perlu digerakkan sepenuhnya di seluruh dunia bagi membantu rakyat Palestin.
Tindakan sokongan kebajikan ini perlu segera dilaksanakan di peringkat domestik negara Islam dan antarabangsa. Peranan ini boleh dimainkan ketua negara Islam dengan duduk semeja dan menetapkan tindakan segera mewakili dunia Islam.
Bantuan makanan, perubatan, kemanusiaan dan sokongan moral perlu segera digerakkan di seluruh dunia Islam tanpa bertangguh.
Kekuatan umat Islam terserlah sekiranya seluruh umatnya bersatu, bak kata pepatah 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.'
5. Doa senjata bagi orang mukmin
Umat Islam seluruh dunia diseru untuk bermunajat dan memanjatkan doa setulus ikhlas memohon bantuan kepada ALLAH SWT Yang Maha Perkasa untuk membantu perjuangan mujahidin di Palestin.
Umat Islam juga diseru menjadikan Qunut Nazilah dalam setiap solat supaya ALLAH memberikan kekuatan dan kemenangan kepada perjuangan Islam di Palestin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram