[VIDEO] Adun Pahang antara 10 mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina


  • 112
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Gambar tular momen terakhir penumpang pesawat yang terhempas di Elmina pada Khamis. — WhatsApp

SALAH seorang penumpang yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di sebuah jalan raya dekat Elmina 8, Shah Alam, Selangor pada Khamis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bentong merupakan salah seorang daripada lapan individu termasuk dua kru penerbangan yang berada dalam pesawat ketika kejadian, demikian maklumat awal yang dikongsikan di Facebook.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin di Facebook juga berkongsikan berita pemergian Allahyarham Johari dengan mendoakan rohnya agar dicucuri rahmat.

Allahyarham Johari juga ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang.

Terdahulu, Majoriti melaporkan kapal terbang kendalian Jetvalet Sdn Bhd itu berlepas dari Langkawi dan dalam perjalanan ke Subang sebelum terhempas di Elmina.

sharkar

Ketua Polis Selangor, Asisten Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan pemeriksaan dijalankan, sekurang-kurangnya dua anak kapal dan enam penumpang berada dalam penerbangan tersebut dan kesemua mereka maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.40 petang.

"Pesawat yang berlepas dari Langkawi itu dibenarkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang apabila terputus komunikasi dengan menara kawalan.

"Namun, pesawat berkenaan dilaporkan merempuh jalan raya di Elmina lalu melanggar sebuah kereta dan motosikal," katanya.

Tambahnya, seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal turut maut akibat kejadian tersebut.

“Kami masih belum dapat memastikan berapa ramai yang berada di dalam kereta itu dan kesemua mangsa akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk dibedah siasat," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan, pesawat itu dinaiki enam orang penumpang dan dua kru penerbangan.

"Pesawat itu disahkan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV dari Lapangan Terbang Langkawi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah," katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang panggilan kecemasan yang dibuat oleh pesawat berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram