Tutup aurat pun tapi masih gayakan fesyen pelik hanya undang balasan berat di akhirat


  • Mukmin
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Islam melarang penganutnya daripada mengenakan pakaian yang berunsur syuhrah. — Gambar hiasan

DI setiap acara fesyen atau majlis anugerah hiburan, menjadi kebiasaan untuk melihat model serta selebriti mengenakan penampilan busana yang terbaik bagi menarik perhatian masyarakat.

Malah, untuk membolehkan mereka tampil lebih menyerlah berbanding yang lain, terdapat juga antaranya membuat keputusan memakai pakaian dengan rekaan luar daripada biasa dan boleh dikategorikan sebagai pelik.

Fenomena tersebut bukan sahaja berlaku di negara luar malah turut menjadi sebahagian daripada amalan dalam acara fesyen dan hiburan di Malaysia.

Namun begitu, tahukah anda bahawa gaya pemakaian tersebut adalah sesuatu yang dilarang dalam Islam?

Ini kerana mengikut hukum Islam, amalan tersebut adalah termasuk di bawah kategori pakaian syuhrah.

Secara umumnya, syuhrah yang merupakan istilah berbahasa Arab bermaksud menonjol, jelas nampak atau tersebar.

Ungkapan mengenai pakaian syuhrah itu disentuh dalam hadis Nabi Muhammad SAW seperti yang terkandung dalam Riwayat Ibnu Majah yang turut menjelaskan mengenai balasan berat kepada mereka yang melakukannya.

Menerusi hadis berkenaan, Rasulullah bersabda: "Barangsiapa mengenakan pakaian syuhrah (tampil berbeza) di dunia, nescaya Allah akan mengenakan pakaian kehinaan padanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka."

Van-Beirendonck-m-F23-001-1674094972

Meskipun menutup aurat, rekaan pakaian tersebut akan tetap termasuk di bawah syuhrah sekiranya ia terlampau pelik dan terlalu mengundang perhatian. — Agensi

Mengulas lanjut berkenaan isu tersebut, penceramah bebas, Dr Kamilin Jamilin berkata, pakaian dikategorikan sebagai syuhrah bukan terhad hanya kepada penampilan yang terlampau gah, mewah dan tidak menutup aurat.

Jelasnya, ia kerana kategori pakaian syuhrah itu meliputi rekaan yang terlampau pelik dan terlalu mengundang perhatian.

"Sebabnya, dengan pemakaian sedemikian, ia jadi sebab kepada berlakunya pembaziran. Selain itu, Islam juga mahu menjaga umatnya daripada sifat riak iaitu sifat yang suka menunjuk-nunjuk sebab nak bagi orang tengok.

"Riak ini muncul bila mana kita rasa lebih hebat dan unik daripada orang lain. Jadi, apabila kita biasa mengundang perhatian atau tumpuan orang ramai, lebih susah untuk kita menjaga hati.

"Walaupun kita kata kita tidak riak, tapi Islam cuba cegah daripada benda tersebut terjadi sebab sifat-sifat macam itu boleh menghalang kita daripada masuk syurga," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar umat Islam termasuk artis dan pereka fesyen untuk menjauhi pakaian yang mengundang ke arah syuhrah.

"Contoh kalau dekat majlis itu orang pakai biasa-biasa, jangan pula pakai berlian atas bawah sampai satu dewan tengok lain macam.

"Islam suka bersederhana. Mungkin dekat luar sana ramai yang masih tak tahu, tapi bila dah tahu bolehlah kita berhati-hati," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram