Raya sakan! Dulu tak balik modal, Alhamdulillah kini jadi jutawan setiap kali Aidilfitri


  • Massa
  • Selasa, 25 Apr 2023

Azad (dua dari kanan) bersama usahawan yang turut berada di bawah jenama Bulan Bintang. — Instagram/musimkita_

MENCAPAI angka jualan melebihi sejuta ringgit bukanlah sesuatu yang berada dalam fikiran Azad Ashraf ketika dia mula terlibat menjual pakaian hari raya ketika tempoh sepanjang bulan Ramadan.

Mengingat kembali detik permulaannya pada Mac 2021, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, langkah diambil selepas dia tidak begitu yakin dengan potensi perniagaan produk makanannya ketika itu.

Sebelum mula menceburkan diri dalam jualan baju raya, Azad, 30, terlebih dahulu menjalankan perniagaan jualan daging harimau menangis selama kira-kira tujuh bulan bermula Jun pertengahan 2020.

Keputusan untuk menjalankan perniagaan makanan itu dibuat selepas kedai alat tulisnya yang juga perniagaan runcit pertama diceburinya pada 2018 terpaksa ditutup ekoran pandemik Covid-19.

"Pada waktu itu, kita hanya ‘ride the waves’. Sebab masa itu ramai buat produk sama. Pelbagai jenama yang muncul dalam pasaran termasuk yang memang dah establish.

Azad yang merupakan graduan bidang ekonomi perniagaan daripada University of Hertfordshire, United Kingdom. — Instagram/AzadAshraf

Azad yang merupakan graduan bidang ekonomi perniagaan daripada University of Hertfordshire, United Kingdom. — Instagram/AzadAshraf

"Tapi, ‘hype’ produk makanan tu tak kekal lama. Kita boleh lihat sekarang apabila ada satu atau dua jenama sahaja yang mampu kekal bertahan sehingga kini," katanya kepada Majoriti.

Azad berkata, dalam situasi dirinya sudah mula memperlahankan jualan produk makanan tersebut, dia akhirnya bertembung dengan jenama Bulan Bintang yang pada ketika itu menjual baju hari raya.

Susulan daripada itu, dia bersama rakan kongsinya mula menjadi pengedar jenama pakaian tersebut pada 24 Mac 2021 dengan bermodalkan RM28,000, iaitu seminggu sebelum bermulanya Ramadan pada tahun tersebut.

Pada tahun pertama berbisnes, dia hanya melakukan jualan dengan menyewa tapak jualan berkeluasan seluas 50 kaki persegi di dalam sebuah butik tudung di pusat membeli-belah terkenal di Sungai Petani Kedah.

Azad (enam dari kiri) bergambar bersama di hadapan butik rasmi Bulan Bintang di bangunan kedai tiga tingkat di Sungai Petani.

Azad (enam dari kiri) bergambar bersama di hadapan butik rasmi Bulan Bintang di bangunan kedai tiga tingkat di Sungai Petani.

Jualan yang dilakukannya pada ketika itu bermula secara offline sepenuhnya.

"Sasaran waktu itu memang tak terfikir sampai satu juta ringgit. Bukan apa, sebab kita tak pernah main dalam dunia fesyen. Tambahan pula kita berniaga ketika bulan Ramadan," ceritanya lagi.

Dalam percubaannya pertamanya itu, Azad berkata, dia bersyukur kerana mampu memperoleh kira-kira hasil jualan bernilai RM120,000 dalam tempoh sebulan tujuh hari.

Dengan perkembangan positif itu, Azad dan rakan kongsinya mengambil keputusan meningkatkan kapasiti jualan pada 2022 dengan separuh daripada sebuah kedai dengan tapak perniagaan dengan keluasan meningkat 10 kali ganda kepada 500 kaki persegi.

Hasilnya, Azad berjaya buat pertama kalinya sepanjang sejarahnya berniaga memperolehi hasil jualan mencecah lebih RM1 juta pada tahun berikutnya.

"Pada tahun kedua itu, kalau saya boleh kongsikan, keseluruhan jualan yang kami dapat perolehi adalah sebanyak RM1.4 juta," ujarnya yang kini mempunyai seramai kira-kira 40 orang staf.

Menurut Azad, pada ketika itu juga, jumlah pakaian yang berjaya dijual meningkat daripada 1,000 pasang pada tahun sebelumnya kepada lebih 15,000 pasang pada 2022.

"Masa itu juga kita mula sudah ada tiga orang stokis dan dalam 200 hingga 300 orang dropship," ujarnya yang merupakan bapa kepada dua orang anak.

Memasuki tahun ketiganya menjual baju raya pada 2023, Azad yang merupakan graduan bidang ekonomi perniagaan daripada University of Hertfordshire, United Kingdom kini mempunyai sasaran jualan yang berkali ganda lebih tinggi.

Pada tahun ini, dia bersama empat orang rakan kongsinya mengambil keputusan membuka butik rasmi Bulan Bintang terbesar di bahagian Utara bertempat di bandar kelahirannya di Sungai Petani.

Butik terletak di lot hujung bangunan kedai setinggi tiga tingkat itu memiliki keluasan keseluruhan dianggarkan 6,300 kaki persegi.

Untuk 2023 juga, Azad turut membuka 11 tapak perniagaan yang berada di Johor hingga Langkawi, Kedah.

"Alhamdulillah sekarang ini 2023, dengan stok produk bersamaan 45,000 meliputi baju Melayu, baju kurung dan kurta, setakat ini kita di landasan yang disasarkan untuk perolehi lebih daripada apa yang kita dapat tahun lepas," ujarnya.

Pada tahun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan nilai jualan bazar Ramadan dan Aidilfitri mencecah sebanyak RM2.4 bilion dan berjaya mewujudkan 156,361 peluang pekerjaan.

Kamarruzaman di  ladang ternakannya di Kampung Semangar, Kota Tinggi.

Kamarruzaman di ladang ternakannya di Kampung Semangar, Kota Tinggi.

Sementara itu, penternak dan penjual daging lembu di Kota Tinggi, Johor, Kamarruzaman Abdul Jalil berkata, permintaan terhadap daging haiwan tersebut sememangnya meningkat berkali ganda lebih tinggi ketika Ramadan berbanding bulan biasa.

Anak kelahiran Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor itu berkata, bagi jualan daging, tahap permintaan boleh meningkat sehingga mencecah lima kali ganda.

"Kalau kata jualan kita pada bulan biasa itu dalam RM7,000 hingga RM8,000 sehari untuk satu kedai, tapi kalau bulan Ramadan boleh cecah RM15,000 ke RM16,000.

"Untuk lembu pun macam itu, dia naik dalam dua hingga tiga kali ganda. Kalau bulan biasa untuk lembu yang berharga sekitar RM6,000, kita jual dalam 50 hingga 100 ekor, tapi kalau bulan Ramadan ini boleh sampai 300 ekor," katanya yang mempunyai 26 orang pekerja termasuk yang bekerja di pasar.

Kamarruzaman, 41, yang mengendalikan ladang ternakan 'fidlot' seluas lapan ekar di Kampung Semangar, Kota Tinggi itu berkata, peningkatan itu berpunca daripada permintaan tinggi masyarakat terhadap makanan berasakan daging ketika tempoh tersebut.

"Biasa masyarakat kita ini bila dia puasa, dia mesti nak cari daging dan tulang lembu untuk sahur atau berbuka.

"Lepas itu kalau kedai makanan pula mesti nak jual daging martabak yang banyak. Buat bubur lambuk lambu pun nak daging," ujarnya yang mula menternak dan membesarkan lembu bermula pada 2008.

Ketika ini, ladang ternakan milik Kamarruzaman yang seluas lapan ekar itu menempatkan sebanyak 1,020 ekor lembu.

Ketika ini, ladang ternakan milik Kamarruzaman yang seluas lapan ekar itu menempatkan sebanyak 1,020 ekor lembu.

Pada ketika ini, sebanyak kira-kira 1,020 ekor lembu sedang diternak di ladangnya yang terdiri daripada lembu diimport dari luar negara.

Kamarruzaman yang menamatkan perjalanan pendidikannya di peringkat SPM melakukan perniagaan menjual daging di dua pasar di Johor yang terletak di pasar peladang Skudai dan KIPMall Tampoi.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, anggaran jualan bagi perniagaan daging dan lembu miliknya sememangnya dianggarkan mencecah melebihi RM1 juta ringgit setiap kali Ramadan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram