Masih sempat melaram, antara baju raya pilihan wanita bertandang rumah terbuka Aidilfitri


  • Hobi
  • Rabu, 03 Mei 2023

Baju tradisional tetap menjadi pilihan hati ketika bergaya di Aidilfitri. — Gambar Hiasan

SETIAP kali musim perayaan Aidilfitri tiba, maka pasar raya di seluruh negara akan dipenuhi dengan para pengunjung yang mencari kelengkapan hari raya.

Sudah pasti permintaan yang mendapat sambutan paling tinggi di pasar raya adalah baju raya.

Bagi kaum wanita, baju raya merupakan item paling penting waktu sambutan hari raya. Walaupun terdapat pelbagai fesyen atau style rekaan pakaian zaman moden ini, namun baju tradisional tetap menjadi pilihan hati kebanyakan wanita.

Pemakaian baju tradisional seperti baju kurung, kebaya dan kebarung sering menjadi perhatian kaum hawa untuk dipakai dalam pelbagai acara terutamanya ketika majlis rumah terbuka sepanjang Aidilfitri.

Berikut adalah beberapa jenis pakaian yang menjadi pilihan wanita Melayu:

1) Baju kurung Kedah

Baju kurung Kedah agak berbeza sedikit daripada baju kurung biasa yang sering dipakai.

Hal ini kerana, rekaan labuh baju yang agak singkat berbanding dengan baju kurung yang lain. Baju kurung tersebut dikatakan menyerupai blaus pendek kerana labuhnya hanya di sekitar bahagian punggung sahaja.

Potongan baju tersebut juga agak longgar dengan sulaman corak bunga- bunga kecil. Biasanya, ia boleh dipadankan dengan kain batik atau skirt labuh. Sesetengah orang juga gemar mengenakan kain pelikat untuk menaikkan lagi seri pakaian itu.

2) Baju kurung Pahang

Baju kurung Pahang atau juga disebut baju kurung Riau Pahang merupakan pakaian wanita Melayu pada zaman dahulu.

Baju kurung itu boleh digayakan oleh sesiapa sahaja termasuklah mereka yang mempunyai saiz badan yang agak besar kerana rekaan bajunya yang labuh dan melebar di bahagian hujung.

Baju kurung Pahang itu juga dikatakan sebagai simbolik hubungan dua hala antara kerajaan Pahang dan Riau pada suatu masa dahulu dan sememangnya menjadi pilihan untuk digayakan pada majlis- majlis rasmi.

WhatsApp Image 2023-05-02 at 17.35.43

Baju kurung cukup sinonim dengan sambutan perayaan Aidilfitri.

3) Baju kebaya

Baju kebaya mempunyai pelbagai versi mengikut jenis etnik atau kaum yang memakainya antaranya kebaya Melayu, kebaya moden, kebaya Peranakan dan kebaya Jawa.

Biasanya, baju atau blaus kebaya menggunakan jenis kain yang sedikit jarang.

Antara aksesori yang wajib digunakan ketika memakai kebaya adalah kerongsang. Hal ini kerana, ia dapat menyerlahkan baju kebaya dengan potongan baju yang agak berbentuk ditambah dengan corak- corak yang agak floral.

Kini, baju kebaya telah direka semula untuk menyesuaikannya dengan suasana hari raya dengan rekaan yang bersesuaian.

4) Baju kurung Johor

Baju kurung Johor merupakan antara jenis baju yang sering dipakai oleh golongan wanita.

Baju itu juga disebut sebagai baju kurung Teluk Belanga kerana diperkenalkan oleh Sultan Johor Moden pertama iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar kerana baginda bersemayam di Teluk Belanga, Singapura.

Baju ini labuh hingga di bawah lutut dan bahagian leher baju dijahit dengan jenis jahitan halus.

Sebagai info tambahan, uniform sekolah bagi pelajar perempuan sekolah menengah dan rendah juga direka berasaskan baju kurung Johor.

5) Baju kurung Perak

Pada masa ini, baju kurung Perak tersebut agak sukar ditemui kerana ia hanya dipakai ketika persembahan atau majlis- malis di negeri Perak pada zaman dahulu.

Pakaian itu agak unik kerana ia boleh dipadankan dengan seluar dan sampin atau lebih sinonim sebagai pakaian orang lelaki da bahagian leher baju tersebut juga mempunyai kolar seperti baju Melayu ekak musang.

Pemakaian baju tradisional sudah pasti dapat mengangkat warisan pakaian turun temurun dan ia dilihat sebagai busana yang sentiasa berada dalam kelas tersendiri.

Walaupun Hari Raya merupakan peluang untuk berhias sebaiknya, namun anda masih perlu berwaspada dengan tidak memakai baju tradisional yang terlalu ketat.

Hal ini kerana, baju tradisional yang terlalu ketat boleh menyebabkan iritasi atau keradangan pada kulit anda selain boleh membataskan pergerakan dan boleh menyebabkan anggota badan menjadi kebas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram