BARU-BARU ini tular satu video memaparkan seorang jejaka sanggup berbasikal dari Selangor ke Perak semata-mata untuk bertemu dengan tunangnya.
Lelaki itu difahamkan mengayuh sejauh lebih kurang 126 kilometer seorang diri semata-mata untuk berjumpa dengan gadis berkenaan.
Di sebalik perkongsian tersebut, muncul pandangan bahawa umat Islam yang sedang bermusafir bagi tujuan melakukan maksiat tidak dibolehkan untuk melakukan solat jamak dan qasar.
Menerusi satu video yang dimuat naik di laman TikTok Ustaz Kembar baru-baru ini, pengguna media sosial tersebut menjelaskan, walaupun jarak tersebut membolehkan lelaki itu melakukan solat jamak dan qasar, tetapi dia tetap perlu menunaikan solat secara sempurna seperti biasa.
"Walaupun jarak tersebut membolehkan dia melakukan solat jamak dan qasar, tetapi disebabkan tujuan musafir itu adalah kerana maksiat kepada ALLAH SWT, maka tidak boleh jamak dan qasar, dia tetap kena solat tetapi solat yang sempurna (tamam).
"(Ini) kerana tidak ada jamak dan qasar bagi orang yang bermusafir kerana nak bermaksiat kepada ALLAH SWT.
"Lainlah kalau kalian bermusafir sebab nak dating dengan mak, yang itu afdhal untuk kita jamak dan qasar," katanya menerusi video tersebut.
Tangkap layar video di laman TikTok Ustaz Kembar baru-baru ini mengenai penjelasan solat jamak dan qasar.
Dalam pada itu, menurut mazhab Syafi’e, salah satu syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan seseorang itu memperoleh rukhsah jamak dan qasar sewaktu bermusafir ialah mesti mempunyai tujuan perjalanan yang jelas.
Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat qasar dan jamak dilakukan oleh umat Islam.
Menerusi perkongsian di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, seperti yang disebutkan oleh para fuqaha atau ahli fiqah, antara syarat tersebut termasuklah solat yang diqasarkan adalah solat fardu empat rakaat dan mempunyai tujuan walaupun dengan mana-mana arah.
Selain itu, permusafirannya mestilah bukan kerana maksiat, mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain serta jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.
Penjelasan itu dikemukakan bagi menjawab persoalan sama ada perjalanan dengan tujuan melancong dan rekreasi diberikan rukhsah untuk solat secara qasar.
Salah satu syarat membolehkan seseorang memperoleh rukhsah jamak dan qasar sewaktu bermusafir ialah mesti mempunyai tujuan perjalanan yang jelas. — Agensi
Laman itu mentarjihkan pandangan majoriti ulama iaitu pandangan mazhab Hanafi, Syafi’e dan pandangan yang dipilih Ibn Qudamah dalam mazhab Hanbali yang mengharuskan qasar solat bagi mereka yang sedang dalam bermusafir untuk melancong dan berekreasi bersama keluarga dan rakan-rakan.
Namun demikian, jika perjalanan tersebut bertujuan untuk melakukan perbuatan yang mendorong ke arah maksiat, seperti untuk berjudi dan berhibur di kelab-kelab malam, maka tidak diharuskan untuk qasar solat.
Pandangan itu lebih meraikan suasana semasa dan memberikan keselesaan kepada umat Islam, terutamanya yang telah bekeluarga dan mempunyai anak-anak kecil.
Begitu juga untuk mereka yang melalui perjalanan jauh yang memenatkan, meskipun dengan menaiki kapal terbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram